Jumaat, 9 November 2012

Tangguh tayang Tanda Putera keputusan kabinet

Zulaikha Zulkifli


 
dikemaskini Keputusan untuk menangguhkan tayangan filem Tanda Putera ke tahun hadapan diputuskan oleh jemaah menteri, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah jemaah menteri mendapati terdapat unsur yang "kurang sesuai" untuk ditayangkan.

"Jemaah menteri telah memutuskan demi kebaikan antara kaum, penayangan wajar ditangguhkan sebab mengandungi babak yang mungkin menimbulkan konflik keras.

"Sebab ia memaparkan tragedi 13 Mei yang dipertikaikan oleh pelbagai pihak," kata Rais.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita selepas merasmikan  Himpunan Kasih Sayang peringat Wilayah Persekutuan di Kampung Puah Lembah petang ini.
Filem kontroversi Tanda Putera ditangguh bagi kali kedua ke tahun hadapan.  

Tanda Putera, yang kontroversi dengan adegan 13 Mei, pada asalnya dijadual untuk tayangan bermula 13 September sebelum ditunda kepada 15 November atas alasan kekurangan promosi.

Filem sejarah itu memaparkan kisah perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein dan timbalannya Tun Dr Ismail Abdul Rahman memulihkan negara susulan peristiwa 13 Mei 1969.

Menelan belanja RM4.8 juta, ia diterbitkan Pesona Pictures Sdn Bhd dengan kerjasama FINAS.

Sehubungan itu, Rais berkata lagi filem tersebut wajar ditangguhkan kerana terdapat babak yang berat sebelah dalam adegan tertentu terutamanya mengenai 13 Mei. 

Menurut Rais, babak tersebut tidak mencerminkan babak sejarah sebenar. 

"Jemaah menteri yang anggotanya menonton tempoh hari berpendapat wajar ditangguh kerana ada beberapa babak yang didapati berat sebelah dalam adegan tertentu misalnya pembunuhan. Ada kepala tergolek dipancung. Kedua, misalnya kencing di tiang bendera. 

"Ini semua tidak mencerminkan sebenar babak sejarah. Ramai pihak kemuka pandangan dan kabinet setuju ditangguhkan dahulu (tayangan)," katanya lagi. 

Selain itu, ketika ditanya sama ada filem itu akan dibuat semula kerana terdapat adegan tidak wajar itu, Rais berkata mesyuarat penilaian antara pengarah dan FINAS perlu dibuat memandangkan filem itu dibuat menggunakan duit kerajaan. 

"Saya tak fikir begitu (dibuat semula). Saya fikir akan diadakan mesyuarat penilaian antara pengarah dan FINAS sebab filem ini filem FINAS dan kerajaan belanja duit. Ini bukan filem terbitan swasta," katanya lagi.

Tiada ulasan: