Rabu, 28 November 2012

Mantan IGP Dakwa Hishammuddin ‘Campuri’ Tugas Polis




PETALING JAYA : Mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan hari ini mendakwa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein ‘mencampuri’ tugas Polis Di Raja Malaysia (PDRM).



Musa berkata Hishammuddin pernah memberi arahan terus kepada pegawai-pegawai junior dan seorang ketua polis daerah tanpa pengetahuannya semasa beliau berkhidmat sebagai Ketua Polis Negara (KPN).

Sebelum ini, Musa berkhidmat untuk PDRM selama empat dekad dan memimpin pasukan tersebut selama empat tahun sejak tahun 2006 sebelum digantikan oleh Tan Sri Ismail Omar pada 13 September 2010.

Musa berkata, tindakan Menteri yang memberikan arahan kepada pegawai polis adalah tidak wajar kerana ia bertentangan dengan peruntukkan undang-undang.

“Jadi, saya menekankan kepada beliau (Hishammuddin) Seksyen 4 (1) Akta Polis (1967, yang mengatakan) bahawa arahan dan kawalan pihak polis adalah dengan KPN dan bukan di bawah kuasa Menteri.

“Sudah tentu, saya tidak boleh secara kasar kepadanya kerana Hishammuddin adalah seorang Menteri.

“Saya bercakap kepadanya dengan baik. Dia tidak suka,” kata Musa.

Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Khas Isu Peningkatan Kadar Jenayah di sebuah hotel di sini.



Turut sama dalam sidang media itu Pengerusi Malaysian Crime Watch Task Force (MyWATCH), R Sri Sanjevan di mana Musa menjadi penaung dan penasihatnya.

Ujar beliau, terdapat aduan daripada pegawai-pegawai polis yang berkata bahawa mereka menerima arahan bukan dari (atasan polis mereka) tetapi dari Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Malah kementerian boleh mengeluarkan arahan sekarang … Siapa yang mempunyai kuasa sekarang?.

“Sesuatu perlu dilakukan oleh pengurusan tertinggi polis bagi membetulkan perkara yang tidak betul itu,” ujarnya.

Menurut Musa, beliau membuat teguran ini adalah supaya polis memperbaiki mutu kerjanya dan menjaga imej professionalisme.

Ketika ditanya apakah Ketua Polis Negara sekarang, Ismail Omar hilang kawalan terhadap pasukan polis, beliau meminta agar KPN sendiri sendiri memberikan penjelasan.

“Tan Sri Ismail Omar sendiri selaku Ketua Polis Negara yang perlu dan (boleh) membetulkan keadaan ini,” katanya.


Tiada ulasan: