Sabtu, 10 November 2012

Mangsa banjir di Selangor, Melaka meningkat

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Bilangan mangsa banjir di Selangor dan Melaka yang berada di pusat pemindahan pagi ini berjumlah 1,014 berbanding 996 malam tadi.

Menurut portal banjir Majlis Keselamatan Negara, Selangor, jumlah itu mencatatkan peningkatan daripada 878 malam tadi kepada 938 setakat 10.48 pagi ini.
 
Mangsa terdiri daripada 247 keluarga di Selangor ditempatkan di empat pusat pemindahan di Kuala Langat serta masing-masing satu di Sepang dan Kuala Selangor.
 
Di Melaka, bilangan mangsa banjir meningkat kepada 76 orang berbanding 61 semalam, namun hanya satu pusat pemindahan dibuka di negeri itu iaitu di Jasin yang menempatkan mangsa terdiri daripada 15 keluarga.
 
Di Johor, portal berkenaan menyatakan jumlah mangsa banjir ialah 439 orang dengan enam pusat pemindahan dibuka di Batu Pahat.

Sementara itu, portal Jabatan Saliran dan Pengairan berkata paras air di dua sungai utama di Selangor iaitu Sungai Langat di Bukit Changgang dan Sungai Selangor di Kuala Badong telah melebihi paras bahaya dan orang ramai yang berada di sekitar kawasan itu diminta berjaga-jaga. - Bernama

Tiada ulasan: