Khamis, 1 November 2012

`Mana bukti…jangan bercakap saja’

 
Pengarah Perhutanan NS mahu Rafizi memberikan bukti dakwaan pengambilan hutan simpan untuk aktiviti pembalakan haram oleh Menteri Besar.



PETALING JAYA: Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Ahmad Fadzil Abdul Majid mencabar PKR memberikan maklumat lengkap mengenai dakwaan pengambilan hutan simpan untuk aktiviti pembalakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hassan.

Beliau menegaskan Jabatan Perhutanan tidak boleh mengambil tindakan andainya PKR tidak memberi maklumat tepat mengenai perkara tersebut.

“Saya minta tunjukkan bukti..kalau betul ada (pengambilan hutan simpan) sila tunjukan bukti, kita boleh ambil tindakan.

“Tempat mana yang dikatakan pengambilan hutan simpan untuk aktiviti pembalakan oleh Menteri Besar.

“Jangan bercakap sahaja tetapi tidak berikan bukti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Fadzil juga menjelaskan dakwaan itu kini dalam tindakan Mohamad yang juga Exco Perhutanan Negeri Sembilan.

Beliau juga menegaskan perkara itu adalah sulit dan butiran lanjut tidak boleh didedahkan.

“Saya tidak mahu membuat komen mengenai perkara tersebut,” katanya ketika diminta mengulas laporan PKR akan membuat laporan polis mengenai perkara tersebut di Seremban petang ini.

Dalam sidang media di Parlimen Selasa lalu, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli meminta Mohamad perlu mendedahkan segera semua maklumat skandal konsesi pembalakan di negeri itu melibatkan kuota 4,800 hektar.

“Rakyat berhak tahu siapa yang mendapat konsesi balak ini, berapa hasilnya kepada kerajaan negeri dan status hak milik tanah-tanah ini setelah diterokai,” kata Rafizi.

Pemimpin muda PKR itu juga mendakwa 8, 616 hektar hutan simpan di Hutan Simpan Jeram Padang Selatan  hilang.

Komen Rafizi akan menyusul…

Tiada ulasan: