Jumaat, 23 November 2012

Lima PBT Selangor Terbaik Di Malaysia




SHAH ALAM  : Lima Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri ini utuh sebagai antara 11 PBT terbaik daripada 149 PBT seluruh Malaysia.

Exco Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu memaklumkan sidang dewan hari ini, penilaian tersebut diputuskan melalui Sistem Star Rating Pihak Berkuasa Tempatan (SPR-PBT) di peringkat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Lima PBT tersebut adalah Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

“Dalam memastikan PBT sentiasa berada dalam keadaan konsisten dan meningkatkan prestasi dari semasa ke semasa, pelbagai mesyuarat, taklimat, bengkel dan pertemuan diadakan dengan Kerajaan Negeri.

“Keadaan ini juga menjadi platform kepada Kerajaan Negeri memantau prestasi PBT sepanjang tahun,” jelas Ronnie menjawab soalan lisan daripada Adun Paya Jaras, Datuk Muhammad Bushro Mat Johor mengenai prestasi PBT.

Ronnie turut menjelaskan, buat masa ini tiada keperluan lagi untuk mewujudkan kawasan PBT baru di Selangor.

“Bagaimanapun, PBT baru akan diwujudkan sekiranya mempunyai keperluan selaras dengan pertumbuhan pesat sesuatu kawasan,” jelasnya.

Beliau berkata, sesuatu kawasan itu juga akan dinilai berdasarkan kriteria yang diluluskan dalam mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan (MNKT) ke-60 pada 3 Jun 2008.

Tiada ulasan: