Khamis, 15 November 2012

Kondo Di Batu Caves: Ronnie Liu Akan Rujuk Peguam




SHAH ALAM  : Exco Kerajaan Tempatan Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu akan berbincang bersama peguamnya berkenaan tuntutan maaf dan saman RM1 juta daripada Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan.

Katanya, surat tuntutan permohonan maaf tersebut diterima di pejabatnya hari ini dan beliau belum mengambil sebarang keputusan lanjut.

“Pembantu peribadi saya telah menerima surat tersebut di pejabat saya dan saya akan membuat rundingan bersama peguam saya dan YB Gobind Singh Deo dahulu,” katanya ketika ditemui di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) hari ini.

Ronnie berkata, surat tersebut akan menuntut RM1 juta daripadanya sekiranya tidak memohon maaf berikutan kenyataan yang dikeluarkannya.

Sebelum ini, beliau mendakwa P Kamalanatan dan Timbalan Menteri Luar Negeri, Senator A. Kohilan Pillay adalah antara individu yang bertanggungjawab meluluskan cadangan projek pembinaan kondominium 29 tingkat di Batu Caves.

Bagaimanapun, P Kamalanathan menafikan dakwaan Ronnie dan mendesaknya supaya memohon maaf secara terbuka atau berdepan tindakan saman berikutan kenyataannya.

Tiada ulasan: