Perkhidmatan Datuk Heng Seai Kie sebagai Ahli Dewan Negara dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan berakhir pada 15 November ini, kata Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa.
  
Beliau berkata Heng telah dilantik sebagai Senator untuk tempoh dua penggal itu iaitu selama enam tahun, had maksimum bagi seseorang anggota Dewan Negara memegang jawatan.
  
Heng, 50, dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pada 16 November 2006 dan seterusnya dilantik sebagai Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan pada 10 April 2009 dan kemudian Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 4 Jun 2010.
  
"Mengikut Perkara 45(3) dan (3A) Perlembagaan Persekutuan, pelantikan seseorang Ahli Dewan Negara untuk satu penggal ialah selama tiga tahun dan tidak boleh memegang jawatan lebih daripada dua penggal sama ada secara terus menerus atau terputus-putus," kata Ali dalam satu kenyataan media hari ini.
  
Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Heng di atas sumbangan, khidmat bakti dan perkhidmatannya sebagai anggota Dewan Negara dan timbalan menteri.
  
Heng, yang berkelulusan ijazah sarjana dalam bidang pentadbiran perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), merupakan Naib Pengerusi Wanita MCA.
  
Dalam pada itu, dalam satu majlis di Putrajaya, Heng berkata beliau tidak pernah mengesyorkan sesiapa untuk menggantikan tempatnya dalam suratnya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
  
"Saya menulis kepada Perdana Menteri berhubung tempoh penggal saya sebagai Senator berakhir pada 15 Nov ini dan untuk beliau mengambil tindakan susulan serta turut mengucapkan terima kasih atas peluang yang diberikan.
  
"Tetapi saya tidak pernah membuat sebarang syor mengenai pengganti kerana itu adalah di luar prerogatif saya. Ia bergantung kepada presiden parti saya atau Perdana Menteri membuat keputusan," katanya.
  
Heng berkata selepas tempoh penggal sebagai Senator tamat, beliau akan bercuti untuk beberapa hari dan kemudian terus melibatkan diri dalam kerja-kerja kemasyarakatan.- Bernama