Jumaat, 2 November 2012

Khalid dakwa calon BN dilayan bagai VIP di sekolah

Abdul Rahim Sabri


 
Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad mendesak Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi penjelasan berhubung dakwaan kehadiran individu disyaki bakal calon BN di majlis yang diadakan di sekolah dalam kawasannya.

Khalid mendakwa beliau mendapat maklumat bahawa individu didakwa bakal calon BN tersebut menghadiri majlis itu "tanpa jemputan dan diberi layanan VIP" oleh pihak sekolah pada minggu lalu.

NONE"Saya minta Menteri Pelajaran (Tan Sri Muhyiddin Yassin) untuk memberi jawapan sama ada benar atau salah. Saya nak beritahu saya ada gambar-gambarnya," kata Khalid dalam sidang media di pejabatnya petang ini.

Beliau mendakwa, kejadian itu berlaku di dua buah sekolah menengah, melibatkan kehadiran calon BN untuk kerusi DUN dan kerusi parlimen Shah Alam.
 
Sedangkan, pemimpin Pakatan Rakyat tidak dibenarkan memasuki kawasan sekolah walaupun ketika tanah sekolah itu masih belum diserahkan oleh kerajaan negeri kepada kementerian, katanya.

"Bagi pemimpin Pakatan secara rasmi, memang tidak boleh masuk... Tidak sepatutnya berlaku (perkara ini), Umno kena faham tidak semua pentadbiran sekolah sokong mereka.

"Yang tidak menyokong, maklumat sampai dekat kita. Tidak sepatutnya berlaku, tidak manis," katanya.

Khalid berkata beliau akan mendedahkan gambar yang membuktikan perkara itu sekiranya Muhyiddin menafikan kejadian tersebut.

"Kita ada gambar yang disyaki bakal calon Umno itu. Kalau nafi saya nak tunjuk gambar-gambar itu," katanya yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Sementara itu, seorang pembantu Khalid, Mohd Jamil Abdul Rahim memberitahu pemberita bahawa majlis berkenaan merupakan "hari restu ibu bapa bagi pelajar yang menghadapi SPM minggu depan."

Tiada ulasan: