Khamis, 8 November 2012

Kase buka kaunter aduan saman AES

Anis Nazri,

 

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE) membuka kaunter penerimaan saman AES bermula 21 November ini, di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.

Pengerusi KASE, Datuk Mahfuz Omar, berkata kaunter itu dibuka bagi memudahkan orang kena saman (OKS) mendapatkan nasihat dan khidmat peguam berhubung saman AES yang diterima mereka.

Menurut Mahfuz, kaunter penerimaan OKS itu bermula jam 12 tengah hari hingga 2  petang, dan OKS perlu membawa sekali surat saman AES yang diterima mereka.

"Pada tarikh tersebut, sepasukan peguam akan bersedia unuk memberikan khidmat peguam kepada OKS.  Jika OKS bersetuju untuk ke mahkamah, kami akan menyediakan khidmat peguam percuma untuk mereka yang terlibat," kata beliau pada sidang media, di parlimen hari ini.

Selepas tarikh tersebut, kaunter tersebut akan dibuka setiap dua minggu sekali, pada setiap Sabtu bermula jam 11 pagi hingga 1 tengah hari.

Tambah Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, kaunter itu dibuka berikutan KASE mendapat aduan daripada OKS yang mencecah 50 orang sekitar Lembah Kelang melalui panggilan telefon dan laman sosial Facebook, milik KASE.

Selain di Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut, KASE juga akan membuka kaunter di Pejabat PAS Kedah, Batu 9 untuk tujuan yang sama.

Dalam pada itu, Mahfuz turut memaklumkan talian hotline AES bagi negeri Perak iaitu 013-3493848.

Khidmat peguam yang ditawarkan KASE membabitkan Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS (Juham).

Tiada ulasan: