Kerajaan negeri Pulau Pinang boleh menjual tanah di Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin kepada BN negeri dengan syarat geran tanah belum diserahkan kepada mana-mana pihak.
  
Menyatakan demikian, Pengerusi DAP Karpal Singh berkata, di samping itu tiada halangan daripada syarikat yang berjaya membida tanah berkenaan iaitu Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC).
  
Bagaimanapun, beliau berkata pihak KLIDC mempunyai hak untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang berhubung perkara itu memandangkan KLIDC telah membuat pembayaran penuh.
  
"Terpulang kepada syarikat itu mengambil tindakan. (KLIDC) Ada hak untuk membuat satu kes ke atas kerajaan negeri kerana sudah ada perjanjian penuh dan ada hak untuk dapat title (hak milik) kepada tanah itu.
  
"...(Kerajaan negeri) boleh jual dengan syarat tidak ada halangan oleh pihak yang sudah membeli tanah itu. Tapi pihak (KLIDC) itu tidak buat apa-apa, jadi boleh dibuat (menjual tanah kepada BN)," katanya kepada pemberita di George Town  hari ini.
  
Beliau berkata demikian ketika ditanya apakah menjadi kesalahan dari segi undang-undang berikutan tindakan kerajaan negeri membuat dua tawaran penjualan tanah itu walaupun tanah itu sudah dijual kepada pihak swasta.
  
Karpal yang juga anggota Parlimen Bukit Gelugor bagaimanapun berkata kerajaan negeri mengambil risiko dengan menjual tanah itu kepada BN memandangkan tanah seluas 0.45 hektar itu telah pun dijual kepada KLIDC.
  
Beliau berkata BN juga tidak perlu memberi apa-apa alasan sekiranya betul-betul berminat untuk membeli tanah berkenaan dan menyerahkan segera baki pembayaran kepada kerajaan negeri.
  
Pada 3 Oktober lepas Pemuda BN menyerahkan wang tunai sebanyak RM224,073 iaitu bayaran satu peratus daripada harga keseluruhan tanah sebanyak RM22 juta sebagai tanda setuju di atas tawaran yang diberikan kerajaan negeri.
  
Tanah di Taman Manggis sepatutnya dicadangkan untuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) fasa kedua; bagaimanapun kerajaan DAP negeri telah menjualnya kepada pemaju untuk membina hotel 19 tingkat, hospital enam tingkat dan tempat letak kereta lima tingkat.  - Bernama