Rabu, 21 November 2012

Jangan polemikkan isu jawatan PM – Mustafa


HARAKAH DAILY

KUALA LUMPUR: Isu siapa menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat memenangi Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) nanti tidak perlu dijadikan polemik di kalangan pemimpin dan penyokong PR, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.
Menjawab polemik isu jawatan Perdana Menteri yang ditimbulkan sejak tamatnya Muktamar Tahunan PAS ke-58, Mustafa mengingatkan semua pihak bahawa perkara tersebut hanya satu perbahasan di dalam muktamar.

“Maka tiada keperluan sebenarnya untuk media memainkan perkara ini kerana ia bukan sebahagian daripada usul muktamar,” kata beliau kepada Harakahdaily.

Tegasnya, cadangan supaya Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjadi Perdana Menteri hanyalah luahan sayang para pewakilan PAS kepada Abdul Hadi, yang dianggap bapa yang dihormati dan disanjungi ketika perbahasan di muktamar PAS.

“Ahli-ahli PAS hanya mengharapkan yang terbaik untuk ayah mereka, sebagaimana anak-anak lain mendoakan yang terbaik untuk ibu bapa sendiri. Walaubagaimanapun, harapan anak tidak semestinya sama dengan hasrat ayah,” katanya.

Selain itu, Mustafa juga berkata tidak berbangkit soal jumlah kerusi di dalam Pakatan Rakyat.

“Selain di Kelantan, negeri-negeri yang dimenangi PR seperti Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor semua memerlukan ketiga-tiga parti komponen untuk bersama, baru boleh membentuk kerajaan.

“Selain PAS di Kelantan, PKR di Selangor, DAP di Penang dan PAS di Kedah, semuanya tiada majoriti untuk memerintah sendiri jika tidak bersama-sama dengan rakannya dalam PR. Walaupun mendapat kerusi terkecil, Adun PAS dipilih menjadi Menteri Besar di Perak,” katanya lagi.

Oleh yang demikian, beliau menasihatkan para pemimpin dan penyokong PR berwaspada dengan media yang cuba melaga-lagakan parti-parti komponen PR.

“Fokuskan kepada kerja untuk memenangkan PR. Dan yakinlah dengan track record PR dalam kerjasama, kematangan dan muafakatnya selama ini dalam membuat keputusan yang terbaik untuk rakyat bila tiba masanya nanti,” tambahnya lagi.

Tiada ulasan: