Selasa, 20 November 2012

Isu Talam: Kertas Putih jawab tuduhan BN

Roketkini.com

SHAH ALAM: Tuduhan BN bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor menggunakan wang rakyat untuk menyelamatkan hutang Talam Corporation Berhad (Talam) adalah meleset kerana syarikat itu telah berjanji melunaskan semua hutangnya berjumlah RM392 juta.

Menerusi Perjanjian Pelunasan Menyeluruh (GSA), Talam berjanji akan melunaskan semua hutang itu dengan memindahkan asetnya kepada Perbadanan Menteri Besar (MBI).

Selain itu, pelunasan hutang itu dilaksanakan bagi memastikan anak syarikat kerajaan negeri (GLC) mampu mengutip hutang Talam.

Hasil kutipan anak syarikat kerajaan negeri itu akan dikembalikan semula kepada rakyat dalam pelbagai program Merakyatkan Ekonomi Selangor seperti Tabung Warisan Anak Kelahiran Selangor (TAWAS), Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Hadiah Anak Masuk Universiti dan sebagainya.

Dalam Laporan Kertas Putih yang diedarkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor (DNS), Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, dalam menyelesaikan hutang Talam, kerajaan negeri hanya membelanjakan RM420,000 untuk membayar yuran perundangan dan faedah bank.

Katanya, pelunasan hutang Talam itu telah dibentang dan dilulus dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri pada 2 November 2009 dan sidang DNS pada 16 November 2009.

“Walaupun kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri sebelum ini berusaha melaksanakan skim itu dari 2005-2008 tetapi hutang itu gagal dikutip,

“Ini bermakna Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor terpaksa mengadakan usaha baru mengutip dan menyelesaikan hutang Talam itu pada 2009/2010,” ujar beliau.

Laporan Kertas Putih ini turut menjelaskan bahawa hutang Talam terhasil dari kerjasama syarikat itu dengan kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) bagi pembangunan tanah (1994-2002), manakala hutang kepada Pendidikan Industri YS Sdn Bhd (PIYSB/Universiti Industri Selangor (UNISEL) hasil perjanjian penswastaan bagi pembinaan Universiti Industri Selangor pada 2001 & 2003.

“KPMG  Transaction & Restructuring Sdn Bhd (KPMG) yang menjalankan pemeriksaan bebas terhadap usaha pungutan semula hutang Talam berpendapat bahawa kerajaan negeri telah membuat keputusan yang bijak.” ujar beliau.

Isu hutang Talam yang ditimbulkan Ahli Parlimen MCA-BN Datuk Chua Tee Yong ini menjadi hangat apabila beliau menuduh kerajaan negeri menggunakan RM1 bilion wang kerajaan negeri untuk menyelamatkan talam.

Ternyata, Laporan Kertas Putih ini membuktikan semua dakwaan BN itu tidak berasas dan dangkal. – Roketkini.com

Tiada ulasan: