Selasa, 20 November 2012

Isu kondo Batu Caves: Exco dicabar letak jawatan

Jika projek tersebut diteruskan ia akan menjejaskan struktur dan mengancam kuil Batu Caves, kata M Manoharan.

 

Sekitar DUN Selangor 

SHAH ALAM: Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew dicabar meletakkan jawatan jika gagal menyelesaikan isu pembinaan projek kondominium Dolomite Park Avenue setinggi 29 tingkat di Batu Caves.

Perkara itu disuarakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) M Manoharan (DAP-Kota Alam Shah) dalam soalan tambahan kepada  Ronnie Liu (DAP-Pandamaran) pada sidang DUN Selangor di sini hari ini.

Manoharan berkata jika projek tersebut diteruskan ia akan menjejaskan struktur dan mengancam kuil Batu Caves yang berusia lebih 100 tahun. Malah pembinaan kondominium 29 tingkat yang berhampiran bukit batu kapur itu turut menjejaskan penduduk dan kawasan di sekitarnya.

“Adakah exco bersedia meletak jawatan jika projek ini tidak dibatalkan? ……kerana projek ini mengancam kuil Batu Caves yang berusia lebih 100 tahun?” soal Manoharan kepada Ronnie Liu.

Ronnie Liu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Negeri berkata tidak timbul isu letak jawatan kerana pendirian kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor ialah untuk membatalkan pembinaan kondo tersebut.

Katanya, kerajaan negeri juga mengeluarkan arahan untuk memberhentikan sementara kerja-kerja pembinaan itu malah satu jawatankuasa bebas ditubuhkan bagi mengkaji kelulusan projek.

Menurutnya, kuasa untuk menarik semula permit dan lesen pemaju terletak ditangan dan bidang kuasa Perdana Menteri mahupun Timbalan Perdana Menteri.

Katanya, projek kondominium itu telah mendapat permit pengiklanan untuk jualan di mana 60 peratus dari sejumlah 400 unit kondo tersebut sudah dijual.

Lokasi projek pembinaan kondominium itu yang terlalu hampir dengan Batu Caves mendapat perhatian apabila Jawatankuasa Kuil Sri Subramaniam Swamy Devasthanam Batu Caves membuat bantahan baru-baru ini.

Mereka mendakwa projek berkenaan akan menjejaskan pemandangan dan struktur kuil tersebut.

Tiada ulasan: