Jumaat, 23 November 2012

Ibu tunggal demo tuntut elaun dari MB Sgor

 


 
dikemaskini Kira-kira 300 orang ibu tunggal berdemonstrasi di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) Selangor pagi tadi bagi menuntut elaun RM100 sebulan setiap orang yang didakwa dijanjikan kerajaan negeri dalam pilihan raya umum 2008.

Kumpulan tersebut yang berdemo selama sejam setengah bermula jam 10 pagi mendakwa mewakili ibu-ibu tunggal dari kawasan Parlimen Selangor dan menuntut bayaran elaun yang didakwa telah tertunggak selama 54 bulan.

"Kami hari ini beramai-ramai nak menuntut janji. Sebab bila dah janji, janji mesti dikotakan.

"Bila (kerajaan Selangor) dah menang, kami ditinggalkan begitu sahaja sedangkan kebanyakan di sini ibu tunggal dan kami adalah aset kepada Selangor," kata Murtini Kasman yang bertindak sebagai wakil kepada kumpulan berkenaan.
NONEDemo tersebut yang bermula pada jam 10 pagi itu dipimpin Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), Mohd Ali Baharom atau dikenali sebagai Ali Tinju.

"Wanita-wanita yang hadir hari ini wanita yang cemerlang dan berani. Kakak-kakak semua hari ini datang untuk tuntut elaun khas yang telah dijanjikan, betul tak betul?" kata Ali membangkitkan semangat peserta demo.

Beliau turut meminta agar media tidak menganggap ibu-ibu tunggal itu dipolitikkan dalam isu tersebut.

Mereka selepas itu menyerahkan memorandum tuntutan yang diterima oleh Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor, Rodziah Ismail, yang berjanji akan menemui wakil kumpulan ibu tunggal itu minggu depan.

Rodziah menegaskan kerajaan negeri selama ini memang menyalurkan bantuan RM100 tetapi ia hanya disalurkan kepada ibu tunggal yang berdaftar dengan kerajaan negeri dan layak sahaja.

Ia juga turut disalurkan kerajaan negeri dalam bentuk lain kepada ibu tunggal, katanya.

Semalam TV Selangor melaporkan beliau memberitahu bantuan itu disalurkan antaranya menerusi Program Pemberdayaan Wanita menerusi pusat Wanita Berdaya (PWB) dan Skim Mikrokredit Bandar dan Luar Bandar (MIMBAR dan SkimSel)

Tiada ulasan: