Jumaat, 23 November 2012

Himpunan Kebangkitan Rakyat bakal gegar Sabah

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: Atas kesedaran dan sambutan hangat rakyat Sabah di setiap program anjurannya, satu perhimpunan aman akan diadakan di Kian Kok Middle School, esok.

Mengikut kenyataaan yang dikeluarkan Sekretariat Pakatan Rakyat Sabah, perhimpunan bertemakan ‘Kebangkitan Rakyat’ ini bertujuan memecah tradisi bahawa rakyat Sabah tidak lagi akan menjadi deposit tetap BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, lapor Roketkini.

Antara yang dijangka hadir menyemarakkan lagi perhimpunan itu adalah pemimpin utama PR seperti Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Pengerusi DAP Sabah, Jimmy Wong Sze Phin (gambar) berkata perhimpunan itu adalah sebuah kejayaan moral buat Pakatan Rakyat Sabah.

“Rakyat semakin terbuka dan ramai menghadiri program yang dianjurkan PR, himpunan ini diharap akan gegarkan Sabah,” katanya.

Wong yang juga ADUN Sri Tanjung adalah seorang daripada yang tersenarai dalam 66 orang calon yang akan bertanding untuk merebut Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

Ditanya mengenai harapan dan aspirasi beliau sekiranya diberi tanggungjawab memikul jawatan itu, Wong berkata, Sabah perlu diberi perhatian memandangkan banyak masalah rakyat di negeri ini.

“Bukan itu sahaja, saya beriltizam untuk menyatukan semua peringkat pimpinan DAP negeri Sabah dalam kerangka menjadi sebuah parti yang kuat dan mampu menggalas amanah dan suara rakyat.

“Sebagai Pengerusi DAP Sabah, saya merasa amat baik sekiranya dapat bersama dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat dan bersedia menerima dan melaksanakan amanah parti serta rakyat dengan lebih berkesan,” katanya.

Sebarang pertanyaan mengenai himpunan ini boleh hubungi wakil DAP Sabah, Johnny Wong 016-8334855, wakil PKR, Dr Kelly Tham (016-8293999), wakil PAS, Saudara Ali (013-8715971), wakil PPPS Saudara Narawi (019-8805055) dan wakil APS, Stephen James (0198510280). - Roketkini.com

Tiada ulasan: