Sabtu, 10 November 2012

Heliza nafi sedang bercinta

KL TODAY
 

Pengacara dan pelakon Heliza Helmi berasa pelik dengan tuduhan kononnya dia cuba merahsiakan status dirinya yang dikatakan sudah memiliki kekasih dalam diam.

Heliza, 26, memberitahu, dia tidak perlu berbuat demikian kerana pada hakikatnya dia masih belum mempunyai teman istimewa ekoran jadual kerja yang padat.”Saya sendiri pelik dan terkejut bagaimana orang lain lebih mengetahui hal hati dan perasaan saya?

“Buat masa ini saya tiada teman istimewa atau kekasih kerana jadual harian saya padat dengan pelbagai urusan kerja.

“Rasanya tidak perlu saya hendak berahsia jika saya memang menjalin hubungan dengan individu tertentu,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini.

Heliza berkata demikian sebagai respons kepada desas-desus kononnya dia merahsiakan hubungannya dengan seorang ahli farmasi yang dikenalinya ketika belajar di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT), beberapa tahun lalu.

Pengacara rancangan Rasa Halal Antarabangsa itu berkata, dia memohon agar gosip yang mengaitkannya dengan ahli farmasi itu dihentikan demi menghormati perasaan lelaki tersebut.

“Dia hanya kawan baik saya ketika zaman belajar di IPT dulu, bukan teman istimewa pun. Tiada apa yang perlu saya sembunyikan jika memang ada hubungan dengan dia.

“Saya mohon cerita ini tidak dibesar-besarkan demi hormati dia. Lagi pun kami sudah lama tidak berhubung.

“Entah-entah dia berkawan dengan sesiapa sekarang atau sudah berkahwin, nanti tidak pasal-pasal timbul masalah lain pula,” katanya.

Mengenai perkembangan terbaru, Heliza berkata, dia dilantik sebagai ikon Festival Hijab 2012 yang akan berlangsung pada 23 hingga 25 November ini.
“Saya juga bertanggungjawab untuk mengemudi acara itu sebagai pengacara, moderator, forum dan terlibat dalam pameran.

“Selain saya, beberapa rakan dari kelas Usrah Fitrah seperti Yatt Hamzah, Diana Amir dan Catriona Ross turut terlibat,” katanya.

Tiada ulasan: