Isnin, 19 November 2012

Halang peguam Perancis masuk M’sia untuk lindung Najib – Cynthia

Oleh Aisha Geoffrey

KUALA LUMPUR : Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Cynthia Gabriel berkata, tindakan kerajaan menghalang dua peguam Perancis masuk ke Malaysia bertujuan untuk melindungi penyelewengan Perdana Menteri dalam skandal rasuah pembelian kapal selam Scorpene.



Ia ekoran Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyatakan peguam terbabit, Wiliam Bourdon dan Joseph Breham akan ditahan jika hadir ke Malaysia dan meminta mana-mana pihak tidak mempolitikkan ‘keputusan yang dibuat’.

Beliau juga menyerahkan kepada pihak Imigresen sama ada membenarkan atau tidak kemasukan peguam terbabit.

“Sebagai menteri, Hishammuddin mengambil keputusan untuk tidak ambil tahu, ia seolah-olah disengajakan dan tujuan sebenarnya untuk menyekat rakyat Malaysia dari mengetahui fakta sebenar kes itu.

“Hishammuddin sedar kenapa mereka perlu halang taklimat tersebut. Ini kerana mereka takut rahsia Datuk Seri Najib Razak akan terbongkar.

“Sedangkan tidak ada sebab munasabah untuk mereka sekat penyaluran maklumat tersebut,” tegasnya ketika dihubungi.

Kedua-dua peguam berkenaan dijadual memberi taklimat berhubung kes Scorpene di Parlimen Khamis ini.



Menurut Cynthia, taklimat itu nanti akan membongkar banyak lagi pendedahan baru berhubung skandal melibatkan Malaysia-Perancis.

Surat jemputan rasmi kepada mereka diserahkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 November.

Pada Julai tahun lalu, kerajaan bertindak menghantar pulang Bourdon ketika tiba di KLIA untuk memberi taklimat pada majlis makan malam Suaram di Petaling Jaya.

Breham pula terpaksa membuat sidang media di Bangkok, selepas permohonan visa beliau ke Malaysia ditolak Mei lalu.

“Jika betul mereka dihalang nanti, kita akan tetap usaha atur taklimat di tempat lain, walaupun bukan itu yang kita mahu. Justeru kita desak Hishamuddin benarkan kemasukan kedua-dua peguam itu untuk buktikan kerajaan sememangnya tidak takut,” kata Cynthia.

Tiada ulasan: