Isnin, 26 November 2012

Hakim Syarie tolak saksi pegawai bank kes bekas menantu KM Sarawak


KUALA LUMPUR — Permohonan peguam Shahnaz Abdul Majid, bekas menantu Ketua Menteri (KM) Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud (gambar) untuk membawa pegawai bank sebagai saksi telah ditolak Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur hari ini.

Shahnaz ketika ini sedang dalam perbicaraan tuntutan RM100 juta untuk mutaah berikutan perceraian dengan Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Abdul Taib dan RM300 juta tuntutan bagi harta sepencarian.

“Saya membuat keputusan menolak permohonan oleh plaintif hari ini untuk membawa saksi pegawai bank bagi memberikan pengesahan ke atas bukti-bukti dokumen yang dikemukakan.

“Pihak plaintif tidak memaklumkan awal kepada defendan mengenai perkara ini, malahan defendan memohon untuk menyoal balas saksi yang ingin dibawa oleh plaintif,” kata Hakim Syarie, Datuk Muhammad Abdullah selepas mendapat bantahan daripada peguam defendan.

Muhammad Abdullah dalam keputusannya juga berkata pihak plaintif boleh membawa semula saksi pegawai bank mereka tersebut tetapi dengan syarat saksi tersebut boleh disoal balas pihak defendan.

Namun, peguam plaintif Mohd Rafie Mohd Shafie tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut memandangkan saksi pegawai bank yang dibawanya adalah bertujuan untuk membuat pengesahan dan bukan untuk memberikan keterangan sebagai saksi.

“Saksi yang kami bawa ini hanya akan buat pengesahan tidak sampai lima minit pun. Mengapa pihak defendan tidak bersetuju dengan saksi kami ini?

“Mereka bukan beri keterangan saksi, tapi hanya buat pengesahan dokumen bank saja,” kata Mohd Rafie dalam penghujahannya.

Peguam defendan, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar pula mempertahankan permohonannya menolak saksi pegawai bank tersebut memandangkan beliau berhasrat mahu menyoal balas saksi-saksi yang dibawa plaintif tersebut.

Selepas keputusan tersebut, pihak plaintif memohon kepada Hakim untuk menangguhkan kes sementara waktu pada jam 12 tengahari ini.

Tiada ulasan: