Isnin, 5 November 2012

Dewan tolak usul bahas laman blog kumpulan pengganas

 
Isu itu tidak perlu dibahaskan segera selaras dengan Peraturan Mesyuarat 18(2). 

 

Sekitar Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini menolak usul daripada membahaskan isu kewujudan laman blog rasmi kumpulan militan al-Qaeda “Tawhed.net” di Malaysia.

Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia dalam jawapan bertulis hari ini berkata isu itu tidak perlu dibahaskan segera selaras dengan Peraturan Mesyuarat 18(2).

“Saya difahamkan bahawa perkhidmatan laman web tersebut telah dihentikan dan perkara ini juga dalam siasatan dan pemantauan agensi penguatkuasaan,” katanya.

Usul tersebut sebelum ini difailkan Ahli Parlimen DAP-Segambut Lim Lip Eng pada 1 November lalu yang kesal kerana kerajaan gagal mengesan kewujudan laman blog itu.

Lim mahu Menteri Dalam Negeri dan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan memberi penjelasan mengenai tahap ancaman yang dibawa “Tawhed.net” kepada keselamatan negara serta jaminan perkara ini tidak akan berulang lagi.

Beliau memetik laporan akhbar The Star minggu lalu yang mendedahkan al-Qaeda menggunakan laman blog itu untuk menarik pengikut dari sekuruh dunia, menghantar mesej, berinteraksi dan mengajar cara berjihad menggunakan keganasan.

Namun blog itu didapati dipadam sehari selepas laporan tersebut disiarkan.

Tiada ulasan: