Jumaat, 2 November 2012

Dedah kaitan Nazri-Chia, Rafizi sedia disaman

Muhamad Faizal,

PETALING JAYA: Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli bersedia diambil sebarang tindakanberhubung pendedahannya mengaitkan keluarga Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dengan  jutawan balak, Michael Chia.

"Saya tidak takut dan kalau Nazri kata itu fitnah, beliau boleh ambil tindakan ke atas saya ataupun saman saya.

"Malah saya tidak pernah berselindung dengan kekebalan parlimen untuk pendedahan ini, kerana saya yakin dan pasti apa yang dilakukan ini adalah betul bukan fitnah," tegas beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PKR pagi ini.

Chia sebelum ini dilaporkan tertangkap dengan wang tunai bernilai RM40 juta di Lapangan Terbang Hong Kong.

Namun, Nazri ketika memberikan penjelasan di Parlimen berkata, wang itu adalah milik Umno Sabah, sekaligus membersihkan Chia daripada tuduhan rasuah.

"Kalau betul Michael Chia tidak bersalah, beliau perlu kemukakan dokumen bukti terutamanya surat pengesahan dari Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC).

"Kita inginkan bukti dan bukannya hanya sekadar penjelasan di Parlimen, kalau betul dan berani sila kemukakan, saya nak tengok," sambung Rafizi lagi.

Semalam Rafizi mendakwa kenyataan Nazri itu dilihat mempunyai konflik kepentingan.

Katanya, ini kerana anak sulung Nazri, Nedim ada hubungan dalam bentuk kenderaan dengan Chia.

Kenderaan itu ujarnya berupa SUV Hummer berwarna hitam, yang berharga lebih RM459,000, yang dimiliki oleh Chia dan mungkin telah digunakan oleh Nedim.

Sehubungan itu beliau juga akan membuat satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin depan terhadap Nazri dan juga menuntut siasatan semula terhadap Chia.

Tiada ulasan: