Khamis, 22 November 2012

Bung Mokhtar: Saya akan ajar mereka yang kurang ajar


KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin hari ini mempertahankan tindakannya menggunakan perkataan lucah dalam laman Twittern kepada seorang pengikutnya atas alasan pengikutnya itu bertindak biadap terhadapnya.

Bung Mokhtar, yang dikenali dengan imej "tegas" dan "lantang" di Dewan Rakyat menegaskan beliau juga akan bersikap sopan kepada mereka yang bersopan kepadanya, tetapi akan turut biadap kepada yang biadap terhadapnya.

"Dia (pengikut Twitter) yang cakap dulu, saya bilang 'f**k yourself' la ... dia Tweet saya dulu, saya jawab kepada orang yang biadap saya (akan bertindak) bagi dia biadap.

"Saya sudah cakap kepada orang yang bersopan saya akan lebih sopan, kalau biadap saya akan berlaku biadap terhadap mereka kerana tidak mahu orang terlalu biadap," tegas Bung Mokhtar kepada The Malaysian Insider.

Ahli Parlimen BN itu juga tidak merasakan tindakannya itu suatu kesalahan walaupun beliau merupakan seorang ahli Parlimen, dan menegaskan tidak boleh "bertolak ansur" dengan mereka yang "memakinya" di laman Twitter.

"Saya tak rasa itu betul atau salah, tetapi saya perlu ajar mereka-mereka yang kurang ajar ... saya tidak boleh bertolak ansur dengan orang dalam Twitter yang maki saya.

"Saya tak kisah, tak peduli. Twitter bukan untuk maki hamun, kalau mereka biadap, saya akan lagi biadap.
"Saya akan ajar mereka," tegasnya.

Bung Mokhtar hari ini menggunakan perkataan "F" di laman Twitternya sebagai jawapan kepada pengikutnya berhubung kenyataannya menuduh Tan Sri Tony Fernandes sebagai "penyangak."

Bung Mokhtar berkata kepada pengikutnya yang dikenali dengan @geminieyes  "f*** ur self (sic)".

Perkataan itu dikeluarkan Bung Mokhtar selepas @geminieyes merujuk kepada kenyataan beliau terhadap pemilik Air Asia, Tony Fernandes, dan berkata kepada Bung:"Sebagai seorang rakyat Malaysia SHUT. THE. F***. UP."

Kenyataan itu kemudiannya dikritik pengikut Bung Mokhtar yang menurut mereka tidak layak menjadi ahli Parlimen.

("Tahniah anda telah menangani itu seperti samseng jalanan") "Congratulations you've certainly handled that like a typical street thug," satu Twitter yang dikeluarkan oleh @tincancat sebagai respon kepada tweet Bung Mokhtar.

Tiada ulasan: