Jumaat, 16 November 2012

Bung Mokhtar hadir taklimat kes rasuah Scorpene minggu depan

Oleh Aisha Geoffrey

KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin dari Barisan Nasional (BN) menyatakan kesediaannya untuk hadir pada taklimat Scorpene yang dijadual diadakan di Parlimen Khamis depan.

“Tiada masalah untuk hadir mendengar taklimat. Sekiranya dijemput dan saya punya masa, apa salahnya, saya akan hadir,” katanya ketika dihubungi Keadilan Daily.

Menurut Bung Mokhtar, beliau tidak meletakkan sebarang halangan dan sedia menyambut ketibaan peguam dari Perancis itu di Parlimen.

“Saya tiada sebarang halangan dan masalah untuk itu,” jelasnya.

Pada 29 Oktober lalu, dua peguam Perancis, William Bourdon dan Joseph Breham mengesahkan kehadiran mereka ke Dewan Rakyat 22 November ini untuk beri taklimat kepada Ahli Parlimen Malaysia berhubung kes Scorpene.

Kedua-dua peguam tersebut setuju untuk datang ke Parlimen sebagai menyambut jemputan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertarikh 2 Oktober 2012.



Bourdon dan Breham akan memberi penerangan kepada Ahli Parlimen mengenai prosiding inkuiri di Tribunal De Grande Instance berkenaan pembelian kapal selam Scorpene oleh Kerajaan Malaysia.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz menyatakan tiada bantahan tentang kehadiran peguam tersebut di Parlimen.

Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menggesa semua Ahli Parlimen, termasuk dari BN hadir ke taklimat kes rasuah pembelian kapal selam itu.

Katanya, beliau tidak melihat sebarang halangan untuk peguam tersebut hadir ke Parlimen jika Umno BN tidak berniat menyekatnya.

“Halangan untuk ahli bukan parlimen mengadakan sidang media hanya di ruang sidang media di lobi Parlimen, jadi sepatutnya tiada masalah untuk taklimat dibuat di sana,” katanya.

Tiada ulasan: