Ahad, 4 November 2012

BN tak mahu berubah, rakyat wajib tukar

Hazayani Zakaria,
 
SEREMBAN: Rakyat wajib menukar kerajaan yang ada pada hari ini memandangkan Umno BN tidak bersedia membuat perubahan.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, rakyat merupakan hakim yang menghukum kerajaan apabila pemimpin tidak menjalankan amanah dengan baik.

"BN tak bersedia buat perubahan jadi kita wajib mengubah kerajaan hari ini.

"Rakyat boleh mengadili pemimpin-pemimpin. Di Britain misalnya, bila pemimpin buat silap rakyatnya  hukum dengan menukar kerajaan.

"Di Malaysia tak jadi begini sebab BN sangka dia jadi kerajaan selama-lamanya," kata beliau sewaktu berucap di Perhimpunan Kebangkitan Rakyat, di Taman Seremban Jaya, dekat sini, malam ini.

Ustaz Hadi berkata, pemimpin BN tidak boleh menganggap mereka boleh menjadi kerajaan yang terbaik buat selama-lamanya.

"Pemimpin BN  tidak boleh berlagak menjadi Tuhan, tidak boleh mengganggap kesenangan rakyat datang dari mereka.

"Mereka tidak boleh menganggap mereka yang terbaik selamanya kerana rakyat yang menjadi hakim," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Justeru, beliau mengajak rakyat melakukan perubahan bersama-sama Pakatan Rakyat yang sudah membuktikan mereka memberi layanan yang sama rata kepada semua kaum.

"Pakatan boleh menunjukkan perpaduan, bukan parti satu kaum sahaja.

"Mari kita ubah cara baru, cara Pakatan Rakyat," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden, Mohamad Sabu meminta rakyat mengekalkan momentum kebangkitan malam ini sehingga ke perhimpunan terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.

"Melihat kepada kesabaran dan kesungguhan rakyat malam ini walaupun dalam keadaan hujan, saya yakin himpunan akhir nanti, seluruh rakyat akan berada di Kuala Lumpur Januari ini," katanya.

Beliau juga mengajak rakyat turun beramai-ramai ke perhimpunan kebangkitan rakyat kali kedua di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada 16 November ini.

"Jangan lupa 16 November ini kita turun ramai-ramai ke Kota Bharu untuk perhimpunan kedua," katanya.

Tiada ulasan: