Sabtu, 24 November 2012

Belanja RM1.5 Juta Untuk Skim Kesihatan Wanita




SHAH ALAM : Sehingga kini, Kerajaan Negeri membelanjakan sejumlah RM1.5 juta bagi memberi manfaat kepada 17, 582 wanita di Selangor untuk menikmati program Kesihatan Wanita.

Menurut Exco Wanita, Dr Rodziah Ismail, sejak mula program ini diperkenalkan pada tahun 2010,  kaum wanita mula sedar bahawa mereka perlu mengambil peluang ini untuk memeriksa kesihatan mereka.

“Jumlah penyertaan ini saya kira sangat memberansangkan kerana wanita kini lebih mengerti keperluan mereka untuk menjaga kesihatan bukan sahaja untuk diri mereka tetapi juga untuk keluarga.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 115 daripada mereka disyaki menghidap kanser,” jelas Rodziah menjawab soalan lisan daripada Adun Hulu Kelang, Shaari Sungib.

Tambahnya, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM 5.2 juta untuk menjayakan program kesihatan wanita iaitu peruntukan RM1 juta bagi setiap tahun.

“Saya harap para YB di dalam dewan dapat meuar-uarkan mengenai program ini supaya rakyat di luar khususnya wanita beroleh manfaat,” katanya lagi.

Beliau yang juga Adun Batu Tiga turut menjelaskan, program kesihatan bukan ditamatkan seperti didakwa pihak tertentu sebaliknya melalui proses penilaian untuk penambahbaikan.

“Bukan tiada lagi, tetapi kita perlu memberi ruang untuk Kerajaan Negeri meneliti dan menambah baik program sedia ada.

“Malah, kita juga akan mengadakan skim kesihatan lain seperti urutan refleksologi dan juga program kesedaran mengawal tekanan hidup wanita,” jelas beliau sambil menambah tender baru kini sudah dibuka untuk sesi program baru yang akan dimulakan sedikit masa lagi.

Tiada ulasan: