Jumaat, 23 November 2012

Bekas MB Kedah sedia disiasat SPRM

Wartawan Sinar Harian

Datuk Seri Mahdzir Khalid
Datuk Seri Mahdzir Khalid
 
ALOR SETAR - Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, beliau bersedia untuk disiasat oleh pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika ada sebarang penyelewengan ketika beliau memegang jawatan itu.

Ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah pada Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini.

Ketua Pembangkang Dun itu meminta kerajaan negeri sekarang supaya tidak menyalahkan pihak lain termasuk kerajaan negeri sebelum ini, terhadap kegagalan mereka, tetapi gagal membuktikan berlakunya penyelewengan.

Mahdzir, yang juga Adun Pedu berkata, kerajaan negeri sekarang mengeluarkan senarai kegagalan projek kerajaan dahulu tetapi jika dilihat, kegagalan itu hanya disebabkan masalah prosedur tetapi tiada yang disebabkan oleh penyelewengan.

“Boleh bawa kes-kes ketika saya menjadi Menteri Besar kepada SPRM dan pihak berkuasa. Apa yang berlaku (kerajaan negeri sekarang) apabila nak 'defence' (pertahan) diri bubuh (salahkan) orang lain,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perumahan, Kerja Raya, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi Negeri, Datuk Amiruddin Hamzah ketika menjawab soalan Abdullah Jusoh (PAS-Pantai Merdeka), menyenaraikan projek kerajaan negeri sewaktu di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang berhadapan dengan masalah.

Sementara itu, Mahdzir dalam perbahasannya turut membangkitkan mengenai Belanjawan Negeri 2013 yang antara lain kerajaan negeri menyasarkan kutipan premium tanah yang dianggarkan RM150 juta tahun depan.

“Ini terlalu tinggi... jika dilihat sejak 2007, purata tahunan premium tanah adalah sekitar RM40 juta setahun. Jadi kerajaan negeri kena beri penjelasan bagaimanapun kutipan RM150 juta itu boleh dicapai begitu tinggi kerana ia akan memberi kesan kepada belanjawan negeri,” katanya.

Mahdzir turut membangkitkan kebimbangannya tentang cadangan kerajaan negeri mahu membuka ladang buah-buahan di Genting Bunga berhampiran Tasik Pedu, yang merupakan kawasan tadahan.

Tiada ulasan: