Ahad, 4 November 2012

Bekas guru Kemas maut dalam rompakan di Sabak Bernam

SINAR HARIAN

SABAK BERNAM - Seorang bekas guru Jabatan Kebajikan Masyarakat (Kemas) meninggal dunia dipercayai akibat lemas selepas mukanya ditekup dengan bantal oleh seorang daripada dua lelaki yang merompak rumah kedainya di Jalan Parit 6 Timur, Sungai Besar di sini pagi tadi.
  
Mangsa dikenali sebagai Sadariah Tohbasar @ Ahmad, 65, yang bekerja sebagai tukang jahit dan membuat kuih.
  
Lebih menyayat hati, kejadian kira-kira pukul 4.45 pagi itu disaksikan oleh cucunya, Mohd Hafizul Azwan Mohd Aznan, 17, yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) esok.
  
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Supt Noor Mushar Mohamad berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 5.30 pagi memaklumkan mengenai kejadian samun di rumah kedai itu.
  
Beliau berkata mayat mangsa ditemui terbaring di ruang tamu dengan kesan darah di bahagian mulut dan kesan bengkak di dahi kirinya.
  
"Mengikut keterangan cucunya yang tidur sebelah mangsa, dua lelaki memakai sarung muka dan bersarung tangan serta bersenjatakan dua bilah parang telah memecah masuk pintu belakang serta menggeledah bilik tengah untuk mencari barangan berharga.
  
"Sebelum itu, mangsa dan cucunya telah diikat dengan tali rapia. Cucunya tidak melawan dan mendiamkan diri tetapi mangsa telah menjerit meminta tolong menyebabkan suspek menumbuk dahinya dan bertindak menekup muka mangsa dengan bantal sehingga wanita itu lemas," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.
  
Noor Mushar berkata kedua-dua suspek dipercayai warga tempatan turut melarikan pelbagai barangan kemas dan wang tunai RM500 menyebabkan keseluruhan kerugian kira-kira RM2,000.
  
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah Sabak Bernam di sini untuk bedah siasat, katanya.
 
Beliau berkata pihaknya kini sedang mengesan kedua-dua suspek bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.
  
"Kita akan menjalankan siasatan menyeluruh termasuk menggunakan khidmat unit anjing pengesan K9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bagi menjejak suspek. Kita percaya akan dapat tangkap suspek dalam masa terdekat," katanya.
  
Noor Mushar meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah ASP Masri Md Hassan di talian 03-32242613.  - Bernama

Tiada ulasan: