Ahad, 25 November 2012

Banjir kilat jejas lebih 600 keluarga di Baling



 
Lebih 600 keluarga membabitkan kira-kira 5,000 penduduk di beberapa buah kampung di daerah Baling terjejas oleh banjir kilat akibat hujan lebat sejak 3 petang semalam.

Kampung yang terbabit ialah Gabus, Telok Pendiat, Pokok Sena Pulai, Raja Kupang, Landak Hilir, Banggol Lahar, Tanjong Merbau, Lubuk Pedati, Cenerai, Kuala Pegang dan Rambong Kupang.

Banjir kilat yang mula melanda pada 6 petang semalam turut menenggelamkan kira-kira 50 hektar tanaman padi di kawasan kampung Landak Hilir, Kupang.

Siti Solehah Awang, 47, dari kampung Telok Pendiat mendakwa punca banjir kilat ialah kerana kegiatan penebangan pokok balak yang berleluasa di beberapa kawasan bukit di daerah itu.

"Sebelum ini kawasan rumah kami tak pernah berlaku banjir kilat seperti ini, tetapi semalam air masuk ke dalam rumah lebih dua kaki dan merosakkan peralatan dalam rumah," katanya.

Che Rohisyam Che Zain, 31, berkata dinding rumahnya retak serta renggang kerana hakisan tanah yang berlaku akibat banjir.

ADUN kawasan Bayu Datuk Azmi Che Husain menasihatkan semua mangsa banjir supaya membuat laporan polis bagi memudahkan siasatan dilakukan ke atas kerugian yang ditanggung.- Bernama

Tiada ulasan: