Jumaat, 9 November 2012

Anifah: Kerajaan amat prihatin kadar jenayah di Malaysia

SINAR HARIAN

ANIFAH AMAN


MELBOURNE - Kerajaan amat prihatin tentang kadar jenayah di Malaysia dan bertekad untuk mengatasi masalah itu, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman di sini pada Khamis malam.

"Perkara itu juga menjadi kebimbangan setiap rakyat Malaysia dan kami perlu berbuat sesuatu mengenainya," kata Anifah kepada kira-kira 100 warga Malaysia pada sesi soal jawab di pejabat Konsul Malaysia di sini.

Ia turut dihadiri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia, Datuk Salman Ahmad dan konsul besar Malaysia di sini Dr Mohd Rameez Yahaya.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri memandang serius perkara itu dan beliau meminta menteri dalam negeri serta ketua polis negara menyusun strategi untuk membanteras ancaman tersebut.

Kata Anifah, kerajaan bekerjasama dengan negara jiran dalam memantau pergerakan penjenayah yang selalunya menghilang diri ke negara lain setelah membuat angkara.

"Memanglah memerangi jenayah merupakan proses berterusan, tapi kami melakukannya dengan bersungguh-sungguh," katanya.

Anifah berkata demikian ketika menjawab pertanyaan juruaudit PricewaterhouseCooper, Praveen Nagappan, yang menyatakan beliau pernah terfikir untuk pulang bekerja di Malaysia, tetapi berasa cemas dengan kadar jenayah di sana dan oleh itu, bimbang tentang keselamatan keluarganya.

Kata Anifah pendidikan merupakan alat penting untuk mencegah anak muda daripada terlibat dengan jenayah. "Kebanyakan pesalah muda berasal daripada rumah tangga bermasalah dan perkara ini sesuatu yang membimbangkan."

Kata beliau gaji polis dinaikkan untuk mengekang perbuatan rasuah dan meningkatkan semangat anggota pasukan itu. Kerajaan juga terus menjaga dengan baik kebajikan keluarga aggota polis.

Menjawab soalan pensyarah Dr Chooi S.Beh tentang juruterbang dan jururawat yang gagal mendapat pekerjaan di Malaysia, Anifah berkata jururawat diperlukan di kawasan luar bandar, tetapi mereka keberatan untuk berkhidmat di kawasan itu.

"Sarawak dan Sabah amat memerlukan khidmat jururawat, tetapi pekerjaan ini terdapat di luar bandar. Sebenarnya, pekerjaan ada, terserahlah kepada jururawat untuk menerimanya," kata beliau.

Mengenai juruterbang pula, Anifah berkata berikutan kelembapan yang dialami industri penerbangan, juruterbang, khususnya yang muda, ditamatkan perkhidmatan.

Kata beliau, memandangkan jumlah juruterbang kini berlebihan, maka golongn muda perlu meninjau tentang peluang pekerjaan sebelum mengikuti latihan dalam bidang itu.

"Mamandangkan lebih RM250,000 diperlukan untuk melatih seorang juruterbang, maka langkah pertama yang perlu diambil ialah memastikan ada peluang pekerjaan untuk kerjaya ini," katanya.

Mengulas cadangan seorang hadirin muda agar Pakatan pembangkang diberi peluang mentadbir Malaysia, Anifah berkata: "Kita ada dua pemimpin.

"Seorang, apabila berada di luar negara, beliau mempromosi Malaysia, bertemu dengan pemimpin dunia, cuba menarik pelabur, memperjuang perkara baik dan menonjolkan pencapaian serta kemajuan kita dan sebagainya.

"Seorang lagi pergi ke luar negara untuk mencerca para pemimpin Malaysia, memburuk-burukkan sistem politik kita, katanya, kami mengamalkan rasuah dan tidak menggalakkan pelaburan di buat di Malaysia.

"Daripada kedua-duanya, siapa yang anda mahu memimpin negara kita dan parti mana yang anda mahu mentadbir kerajaan?" - Bernama

Tiada ulasan: