Khamis, 1 November 2012

Anak Nazri Aziz didakwa Guna ‘Hummer’ Milik Micheal Chia




KUALA LUMPUR: PKR hari ini mendakwa Nedim Mohd Nazri menerima manfaat dari ‘kemurahan hati’ Micheal Chia, iaitu ahli perniagaan Sabah yang terbabit dalam skandal memberi RM40juta kepada Umno Sabah.

Oleh itu, Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli curiga mengapa Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abd Aziz mempertahankan habis-habisan pihak yang dikaitkan dengan terbabait.

Kata Rafizi, ‘kemurahan hati’ Micheal Chia kepada Nedim dapat dilihat apabila dua individu yang dikenalpasti sebagai pemandu dan pengawal peribadi keluarga Nedim menggunakan sebuah kenderaan mewah SUV jenis Hummer yang dikenalpasti milik kepada ahli perniagaan tersebut.

Pemandu dan pengawal peribadi keluarga Nedim itu juga dikatakan membawa isteri Nedim, Bee Khan ke destinasi yang diingininya.

Micheal Chia merupakan individu yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dana RM40 juta yang disalurkan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman baru-baru ini.



Kenderaan bernombor pendaftaran WNX 9776 tersebut juga didapati kerap dilihat di kediaman keluarga tersebut di Clearwater Residence, Damasara Heights dan kedai milik Nedim di Bangsar Shopping Complex.

Selain itu Hummer dianggarkan bernilai lebih RM459,000 tersebut juga pernah dipandu dalam konvoi beberapa kenderaan yang turut disertai ‘kereta sport’ milik Nedim sendiri.

Rafizi berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di lobi Parlimen hari ini.

“Kenderaan mewah Hummer Hitam WNX 9776 adalah hak milik Micheal Chia dan boleh disahkan melalui carian saman di laman MyEG.

“Saman bernombor 1100105197 bertarikh 1 April 2011 mengesahkan bahawa kenderaan Hummer hitam adalah milik Micheal Chia atau Chia Tien Foh nombor kad pengenalan 670406-12-5261,” kata beliau.

Rafizi turut mengukuhkan dakwaannya dengan mengemukakan beberapa bukti lain yang merupakan gambar-gambar yang diambil oleh pihak yang bertanggungjawab menyiasat perkara itu.

Antara gambar yang dikemukakan termasuklah gambar kenderaan tersebut sedang dipandu pemandu keluarga Nedim di kondominium mewah Clearwater Residence tersebut.

Selain itu, gambar ‘screen shot’ twitter Nedim, Bee Khan dan rakan mereka Alwi Kamaruddin turut mengesahkan bukti kaitan keluarga Nedim dengan Micheal Chia .

“Dalam keadaan Micheal Chia disiasat SPRM dan Nazri bertanggungjawab terhadap SPRM, kenyataan Nazri yang bermati-matian mempertahankan Micheal Chia sudah pasti menimbulkan perselisihan kepentingan.

“Ini sudah cukup untuk menimbulkan keraguan bahawa ada unsur-unsur rasuah di antara Nazri yang melindungi Micheal Chia melalui kenyataan beliau kerana si tertuduh membiayai kenderaan mewah yang digunakan oleh anak beliau.

“Datuk Seri bukan sahaja bercakap bagi pihak SPRM, tetapi juga menjawab bagi pihak Micheal Chia,” kata beliau lagi.

Selain Rafizi, turut tampil dalam sidang media sama, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.


Tiada ulasan: