Selasa, 20 November 2012

Alangkah bagus kalau PAS doa keselamatan Gaza

PAS sepatutnya berdoa meminta perlindungan keselamatan rakyat Palestin di Gaza supaya tidak terus menjadi mangsa kezaliman.



KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Dato’ Zulkifli Noordin berkata, kemuliaan agama tercalar dikaca mata penganut bukan Islam dengan sikap PAS yang dianggapnya terdesak untuk mendapatkan kuasa.

“Mengadakan solat hajat untuk hancurkan orang lain adalah sia-sia. Bukan dalam Islam sahaja tapi dalam agama lain tidak mengajar supaya mendoakan kehancuran agama lain.

“Alangkah bagusnya kalau PAS doakan keselamatan di Gaza…umat Palestin meletakkan harapan yang tinggi kepada kerajaan Malaysia supaya membantu mereka,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Zulkifli merujuk kepada doa yang dibacakan anggota Dewan Ulama PAS Kelantan Nik Razi Nik Mat ketika memimpin solat hajat yang disertai kira-kira 50,000 ahli dan penyokong parti di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baharu pada 16 November lalu.

Nik Razi yang juga adik kepada Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu dalam doanya menyebut ‘Kuburkanlah Umno-BN’ dan ‘KO BN’ ketika berlangsungnya Muktamar Tahunan PAS kali ke 58.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tangga Batu Datuk Idris Haron mengingatkan PAS supaya berhati-hati dengan tindakan mereka apabila mengadakan solat hajat mendoakan kehancuran Umno, tumbangnya Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, tiada hukum dalam Islam yang menyuruh umatnya mendoakan keburukan terhadap orang lain apatah lagi terhadap sesama Muslim.

Katanya, tindakan PAS menunjukkan parti itu tidak lagi boleh dipercayai sehingga terdesak meng’halal’kan doa tersebut semata-mata demi matlamat mahu memenangi Putrajaya.

“Saya yakin kalau Perhimpunan Agung Umno yang akan bersidang tidak lama lagi kita akan mendoakan yang baik-baik supaya semuanya bahagia dan berjaya di dunia dan akhirat.

“Kita takkan sesekali mendoakan supaya pemimpin PAS atau parti lawan hancur musnah dan dilaknat…kita takkan buat perkara ini,” katanya.

Ahli Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali pula ketika ditemui berkata, tindakan itu mendedahkan PAS terjerumus kepada hukum syirik apabila sudah jauh menyimpang daripada landasan yang dibenarkan agama.

“PAS bukan satu agama yang membenarkan setiap tindakan ahlinya. Parti politik ini boleh melakukan kesilapan kerana ia dipimpin oleh manusia yang bukan maksum (sempurna), sudah tentu ada perkara yang tersasul dan tak betul,” katanya.

Katanya, PAS sepatutnya berdoa meminta perlindungan keselamatan rakyat Palestin di Gaza supaya tidak terus menjadi mangsa kezaliman, bukannya mendoakan demi kepentingan politik sendiri.

“Saya tak cadangkan supaya mereka (PAS) ini turut hancur tapi sekurang-kurangnya PAS mintalah doa supaya DAP diberikan hidayah menerima Islam,” katanya yang merujuk keengganan DAP menerima hukum hudud dan pembentukan negara Islam.

Tiada ulasan: