Ahad, 4 November 2012

Aishah : Umno Bukan Adat Negeri, Tinggalkan Umno




SEREMBAN: Penyanyi terkenal 80-an Aishah menyeru rakyat Negeri Sembilan agar tinggalkan Umno di dalam ucapannya di dalam konsert sempena Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) di Taman Seremban Jaya di sini.

Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, berkata meskipun orang Negeri Sembilan kuat berpegang pada adat, tetapi Umno bukanlah sebahagian dari adat Negeri Sembilan.

“Orang Negeri Sembilan harus tahu, Umno bukanlah adat yang perlu kita pertahankan, jadi kita harus tolak Umno yang merosakkan negara ini,” ujar beliau di dalam ucapan ringkas selepas persembahan beliau.

 

 Acara di tapak HKR dimulakan dengan bacaan doa dan diikuti persembahan nyanyian artis popular 90an, Nizam Laksamana dengan lagu popularnya “Gugurnya Bunga Cinta”.

Selain Aishah dan Nizam Laksamana, antara artis lain yang turut hadir adalah Dayangku Intan dan Vincent Chong.

Selain menyampaikan ucapan ringkas, Dayangku Intan turut menyampaikan lagu popular beliau, “Berpaut Di Dahan Cinta”.

Selain hiburan, majlis petang tadi turut diselang-selikan dengan ucapan pemimpin muda Pakatan Rakyat yang mewakili kaum Melayu, Cina, India dan Orang Asal.

Himpunan tersebut didahlui dengan konvoi dari Stadium Paroi yang disertai kira-kira 200 motorsikal dan 50 buah kereta terus menerima sokongan masyarakat di Senawang.

Orang ramai yang berada di sepanjang jalan memberikan sokongan dengan membunyikan horn dan memberi isyarat bagus kepada peserta konvoi.



Konvoi tersebut tiba di tapak HKR kira-kira jam 4.30 petang dan disambut dengan paluan kompang, tarian singa, kumpulan gendang India dan sorakan semangat orang ramai yang berada di tapak HKR.

Dianggarkan kira-kira 2,000 orang telah membanjiri tapak HKR yang berlangsung dalam keadaan hujan.

Acara dihentikan kira-kira jam 7.30 malam sebelum akan disambung semula pada sebelah malamnya dengan ceramah pemimpin-pemimpin utama Pakatan Rakyat dari PKR, PAS dan DAP.

Tiada ulasan: