Rabu, 7 November 2012

Ahli DAP usah layan media milik UMNO

Roketkini.com



KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP mencapai kata sepakat dalam mesyuaratnya Isnin lalu untuk menentukan seseorang calon bertanding di kerusi Parlimen dan DUN secara serentak harus mengambil kira keadaan kerana ia membabitkan strategi politik.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kenyataan medianya menyeru ahli DAP supaya tidak menghebahkan mekanisme dalaman parti serta strategi politik kepada media yang mungkin berniat untuk memberi gambaran buruk kepada DAP.

“Gambaran negatif yang disensasikan adalah taktik untuk mengalih perhatian daripada dasar gagal, fitnah dan budaya kroni yang diamalkan BN,” kata Guan Eng sambil merujuk kepada isu pemasangan 831 kamera 1Malaysia di bawah Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang bakal menguntungkan kroni Barisan Nasional.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan menambah bahawa media arus perdana akan terus memutarbelitkan kenyataan pimpinan Pakatan Rakyat, termasuk memainkan sentimen perkauman dan agama demi menutup kegagalan BN memberi penjelasan terhadap isu tertentu.

“Cubaan Utusan Malaysia untuk melaga-lagakan orang Islam dengan bukan Islam dengan melabelkan DAP sebagai “kafir harbi” telah gagal apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyatakan bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan tidak pernah mengeluarkan fatwa yang menggelarkan orang bukan Islam sebagai “kafir harbi”, ujar beliau.

Menyifatkan tindakan Utusan Malaysia itu sebagai jahat dan tidak bertanggungjawab, Guan Eng turut menerangkan bahawa frasa kafir harbi digunakan untuk merujuk kepada orang bukan Islam dan memusuhi Islam dan Utusan Malaysia secara tersirat cuba menyarankan keganasan terhadap pemimpin DAP.

“Walaupun difitnah Utusan, tiada tindakan diambil terhadap akhbar terbabit. Pemimpin DAP harus bersatu menentang tindakan terdesak media arus perdana untuk memberi kemenangan kepada BN pada pilihan raya umum yang akan datang,” ujarnya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: