Jumaat, 16 November 2012

Abdul Hadi: Saya puas hati dengan ‘Harakah’, ‘Harakahdaily’


Dewan Pemuda PAS Pusat mendesak editorial 'Harakah' distruktur semula bagi menterjemahkan aspirasi sebenar PAS. – Gambar oleh Saw Siow Feng
 
KOTA BARU – Walaupun Dewan Pemuda PAS telah mengemukakan usul untuk merombak semula struktur editorial lidah rasmi PAS, Harakah dan Harakahdaily, Presiden PAS hari ini nyata memberikan pandangan berbeza berhubung perkara itu kerana berpuas hati dengan keupayaan organ rasmi parti Islam tersebut.

“Sekarang, saya puas hati atas keupayaan mereka (Harakah, Harakahdaily).

“Kita orang Islam tiada yang sempurna, saya pun tak sempurna, orang boleh kritik saya ... cuma kita terima teguran dan nasihat daripada semua pihak,” kata Abdul Hadi kepada pemberita.

Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad ketika Muktamar Pemuda PAS semalam menegaskan, lidah rasmi parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu juga turut menyiarkan berita yang memalukan apabila menjadikan isu perbalahan antara PAS dan Datuk Dr Hasan Ali dan Nasharuddin Mat Isa sebagai berita mereka.

Harakah merupakan lidah rasmi parti dan setiap berita yang keluar merupakan kenyataan rasmi parti tetapi kini ia tidak berfungsi dengan baik.

“Sebagai contoh, ketika krisis melanda parti ini melibatkan Hasan dan Nasharuddin, berita tersebut dijadikan muka depan akhbar dan ini tidak sepatutnya berlaku.

“Ia patut disembunyikan daripada pengetahuan umum mengenai krisis kepimpinan yang melanda parti tetapi sebaliknya berlaku,” katanya ketika membentangkan usul di Muktamar Pemuda PAS ke-53 semalam.

Sehubungan itu, Kamaruzzaman turut mendesak supaya ditubuhkan satu jawatankuasa untuk menapis dan mengawal isi kandungan pemberitaan Harakah dan Harakahdaily, termasuk penstrukturan semula editorial akhbar berkenaan.

“Menyedari bahawa Harakah semakin jauh dari matlamat asal penubuhan, Dewan Pemuda PAS Pusat mendesak editorial Harakah distruktur semula bagi menterjemahkan aspirasi sebenar PAS.

“PAS Pusat perlu membentuk sebuah jawatankuasa untuk menapis dan mengawal kandungan dan pemberitaan Harakah dan Harakahdaily supaya selari dengan dasar parti,” katanya lagi.

Selepas usul berkenaan disokong dan diluluskan hampir 600 perwakilan, wartawan Harakah dan Harakahdaily dilihat terus meninggalkan muktamar yang ketika itu masih lagi berlangsung.

Tiada ulasan: