Khamis, 8 November 2012

433 nama pemilih lenyap tanpa dipamer, data diubah sana sini

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: KEADILAN hari ini membongkar satu lagi bentuk kejanggalan manipulasi daftar pemilih dengan tidak melalui Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) yang dipamerkan di setiap suku tahun.



Menurut Naib Presidennya, Fuziah Salleh, kejanggalan itu boleh disifatkan sebagai kegagalan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Malah, beliau tidak menolak kemungkinan ia dimanipulasi dengan sengaja oleh SPR.

“RDPT merupakan ‘audit trail’ di dalam daftar pemilih. Dan SPR wajib boleh ‘tally’ jumlah pemilih di dalam daftar pemilih setiap suku yang disahkan melalui cara ini.

“Sebaliknya didapati SPR gagal berbuat demikian. SPR sewenang-wenangnya masukkan nama dan keluarkan nama, pindahkan nama pemilih tanpa dipamer terlebih dahulu,” kata Ahli Parlimen Kuantan itu pada sidang media di lobi Parlimen pagi tadi yang turut disertai Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali.

Sebagai contoh, jelas Fuziah, hasil audit daftar pemilih di antara daftar pemilik induk Suku ke-4 2011 dan daftar pemilih induk Suku Pertama 2012 seperti yang dibekalkan SPR kepada PAC bagi Parlimen Kuantan (P083) mendapati, sebanyak 155 nama pemilih dimasukkan ke dalam daftar pemilih tanpa melalui RDPT.

“Kita mendapati nama yang sudah dipamerkan sebagai pemotongan sebelum ini dimasukkan semula ke dalam daftar pemilih P083 sedangkan tiada bantahan dibuat ke atas nama tersebut.

“Terdapat 40,000 nama di seluruh negara. Sejumlah 15 undi pos (polis dan tentera) dimasukkan tanpa dipamerkan.

“Terdapat juga nama dipindahkan masuk tanpa dipamerkan terlebih dahulu. Mereka ini merupakan pemilih di kawasan lain sebelum ini,” katanya dipetik Media Selangorku.

Kata Fuziah, sebanyak 433 nama pemilih hilang dari daftar pemilih begitu sahaja tanpa dipamerkan.
“Semakan kami menunjukkan jumlah yang besar terus hilang (tiada dalam rekod). Kalau meninggal sekalipun tidak mungkin sampai 400 lebih nama.

“Selain itu sejumlah besar dipindahkan ke kawasan Parlimen lain tanpa dipamerkan (hampir 100 nama) dan jumlah pemilih yang dipamerkan keluar terdiri dari pemilih awam dan pos,” sambungnya.
Justeru, beliau mahu SPR jelaskan mengenai perkara berkenaan.

Tegasnya, keadaan ini membuktikan SPR tidak membersihkan daftar pemilih dan kemungkinan besar ia dilakukan dengan sengaja untuk membantu Umno BN.

Tiada ulasan: