Ahad, 18 November 2012

14 usul dilulus termasuk 8 tanpa bahas

FREE MALAYSIA TODAY

Dewan Ulamak PAS Pusat membawa usul organisasi agar Majlis Syura Ulamak PAS menubuhkan satu unit audit syariat.

 

PAS ke 58

PETALING JAYA: Sebanyak 14 usul diluluskan oleh muktamar tahunan PAS ke-58 yang diadakan di Kota Baru iaitu enam dengan bahas dan lapan lagi tanpa perbahasan.

Enam usul yang dibahas itu adalah, satu usul dari Dewan Ulamak, dua dari pemuda, satu muslimat dan dua PAS Pusat, lapor Harakahdaily.

Dewan Ulamak PAS Pusat membawa usul organisasi agar Majlis Syura Ulamak PAS menubuhkan satu unit audit syariat bagi tujuan mengaudit perjalanan badan eksekutif yang terdiri daripada wakil ahli jawatankuasa PAS Pusat, Badan Perhubungan PAS Negeri dan kerajaan negeri yang ditadbir PAS.

Pengauditan ini menurut mereka perlu merangkumi semua aspek pentadbiran supaya semuanya memenuhi pematuhan syariat dan tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan syariat bagi memastikan kualiti kepimpinan kerajaan negeri ditadbir PAS.

Usul itu telah dibentang dan dibahas semalam dan telah dipersetujui sebulat suara oleh para perwakilan muktamar.

Dewan Pemuda PAS pula membawa usul mendesak kerajaan supaya Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) ditangguhkan serta merta bagi mengelakkan pengainayaan kepada rakyat.

Usul itu juga mendesak agar kerajaan mewujudkan satu tatacara kelola trafik yang baru berdasarkan kajian dan juga piawaian negara maju yang lebih bersifat mendidik pengguna jalan raya.

Satu lagi usul yang dibawa dewan itu adalah usul mendesak kerajaan Malaysia menerima usul tergempar berkaitan Palestin dan Rohingya.

Usul tersebut juga menggesa kerajaan melalui OIC, Liga Arab dan PBB mengambil tindakan segera terhadap isu ini.

Kerajaan juga digesa menyatakan sikap yang tegas serta menggunakan seluruh mekanisma operasi untuk membantu krisis kemanusiaan yang berlaku di kedua-dua negara ini.

Tangguh laksana PBS

Kedua-dua usul pemuda tersebut juga telah dibentang dan dibahas semalam dan juga telah diterima sebulat suara para perwakilan.

Usul dari Dewan Muslimat PAS Pusat pula bagi mendesak Kementerian Pelajaran Malaysia menangguhkan perlaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Ini kerana perlaksanaan itu masih kabur sehingga menimbulkan tekanan kepada guru yang hampir 80 peratus dari mereka sebenarnya tidak faham.

Mereka juga menuntut agar hak yang adil dan sama rata kepada seramai 800,000 pelajar Sekolah Agama Rakyat (SAR) dalam PBS ini serta memastikan akses internet 1 Bestari Net yang menggantikan School Net di sekolah diatasi dengan sebaiknya sebelum perlaksanaan dilakukan.

Usul tersebut yang dibentang pagi ini juga diterima sebulat suara oleh perwakilan.

PAS Pusat pula membawa usul agar memperhebatkan siri penerangan pengkhianatan Umno kepada orang Melayu melalui semua medium yang ada.

Pada masa yang sama, PAS juga perlu meyakinkan pengundi Melayu bahawa PAS mampu menjaga Melayu lebih baik daripada Umno serta menerangkan segala pembohongan Umno.

PAS juga perlu menonjolkan kemampuan memerintah dengan memberi contoh Kelantan yang telah diperintah 22 tahun dan Kedah yang telah berjaya menunjukkan prestasi yang baik walaupun terpaksa menanggung beban hutang RM1.8 bilion peninggalan BN.

Kukuhkan JK Bersih

Satu lagi usul PAS Pusat adalah agar PAS mengukuhkan sokongan ke atas Jawatankuasa Bersih yang telah mengemukakan lapan tuntutan untuk membersihkan pilihan raya.

Usul terssebut juga mahu PAS mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan Umno BN untuk memenuhi kesemua tuntutan Jawatankuasa Bersih.

Pada masa sama, jentera PAS juga perlu terus membongkar penyelewengan Umno melalui daftar pemilih dan terus memberi tekanan kepada SPR untuk membersihkan kesemua daftar undi sebelum PRU-13.
Usul yang juga dibentang pagi ini itu juga diterima sebulat suara oleh para perwakilan.

Sementara itu, lapan usul yang diterima tanpa bahas adalah usul memperkasa Harakah, usul mengutuk Presiden MCA Dr Chua Soi Lek yang berterusan menghina Islam, serta usul agar Pakatan Rakyat mengutamakan seluas-luasnya aspek pendidikan di dalam pentadbiran di negeri-negeri yang dikuasai.

Selain itu, usul-usul agar usaha dakwah terhadap bukan Islam dimaksimakan, usul pembantu rumah tempatan dimartabatkan, usul calon Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) diberi peluang bertanding dalam PRU-13 juga dilulus tanpa bahas.

Dua lagi usul juga dilulus tanpa bahas adalah usul menghapuskan Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta usul agar diadakan satu himpunan besar-besaran pembabitkan parti-parti dalam Pakatan serta NGO bagi mendesak kerajaan memastikan pilihan raya adil dan saksama.

Tiada ulasan: