Khamis, 15 November 2012

12 hari lagi untuk BN roboh kamera haram di S’ngor – Exco

Oleh Norutul Ilham

SHAH ALAM: Pemasangan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik(AES) di Selangor oleh kontraktor yang dilantik Kerajaan Pusat adalah secara haram, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu.

Menurutnya, dua kamera tersebut di Kajang yang dipasang di kilometer 6.6 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan di kilometer 301.6 menuju ke utara di Lebuhraya Utara-Selatan tidak mendapat kebenaran daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“AES di Kajang adalah di bawah Akta Kerajaan Tempatan. Sebelum pemasangan perlu dapat Kebenaran Merancang (KM).

“Tanpa itu (KM), walaupun kamu pemilik tanah, kamu tak boleh buat begitu, ia dianggap haram, salah. Jadi saya sarankan (Menteri Pengangkutan) Datuk Seri Kong Cho Ha rujuk dulu dan minta nasihat,” katanya pada sidang media petang tadi.

Jelas Ronnie, sebelum pemasangan, pihak bertanggungjawab mesti mendapat kebenaran yang diperuntukkan dalam undang-undang.

“Dia mesti ada kelulusan baru boleh buat. Dia menteri (dan dia) mesti ikut undang-undang juga.

“JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) hanya bagi kontraktor minta izin. (Tapi) kontraktor tak buat.
Kementerian tak buat permohonan. Ketiga-tiga pihak tidak buat permohonan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pandamaran itu.

Sehubungan itu, kata Ronnie, amaran Kerajaan Selangor yang memberi tempoh 14 hari kepada Kementerian Pengangkutan untuk menanggalkan semula kamera tersebut di negeri itu sangat berasas.

“Dua AES di kawasan Kajang, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), minta surat untuk roboh 14 hari, ekoran taklimat diberikan oleh Pengarah JPJ.



“Saya pergi semalam di Lebuhraya Lembah Klang Selatan dan di Lebuhraya PLUS Expressway dari Bangi menghala ke Cyberjaya masih terdapat kamera AES di sana,” katanya merujuk laporan muka depan akhbar Suara Keadilan hari ini.

Ronnie yang ke lokasi itu semalam bersama seorang lagi Exco, Dr Yaakob Sapari menunjukkan kamera yang bakal dirobohkan jika Kerajaan Pusat berdegil tidak mahu menanggalkan kamera tersebut dalam tempoh yang ditetapkan.

Beliau bertegas akan mengarahkan MPKj untuk merobohkan kamera tersebut sekiranya kontraktor berkenaan gagal berbuat demikian.

“Kalau tak roboh, kita akan minta MPKj buat surat untuk roboh dalam 14 hari. Kalau (dalam tempoh itu) tak roboh (kamera), kita akan robohkan. Kita patuhi undang-undang,” kata Ronnie.

Kerajaan Selangor menetapkan 14 hari kepada Kementerian Pengangkutan, bermula Isnin lalu dan tempoh itu berbaki 12 hari lagi dari sekarang.

Tiada ulasan: