Selasa, 17 April 2012

Umno mahu KPT semak status peserta demo

RUZY ADILA IDRIS

Pengerusi Biro Institut Pengajian Tinggi (IPT), Syahrin Md. Jamaludin
SHAH ALAM – Pemuda Umno menggesa Kementerian Pengajian Tinggi menyemak latar belakang kumpulan mahasiswa yang berdemonstrasi menuntut pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sama ada mereka benar-benar masih berstatus mahasiswa atau sebaliknya.

Pengerusi Biro Institut Pengajian Tinggi (IPT), Syahrin Md. Jamaludin berkata, jika peserta demonstrasi ini benar bergelar mahasiswa, tindakan tatatertib harus dikenakan ke atas mereka dia atas tindakan yang mereka lakukan.

Namun, katanya, jika mereka bukan berstatus mahasiswa, jelas sekali demonstrasi yang diadakan itu digunakan pihak pembangkang untuk menggunakan isu mahasiswa untuk meraih perhatian rakyat dengan politik populis.

“Apa tujuan mereka berkumpul? Demonstrasi itu dilihat diadakan hanya untuk mencetuskan kemarahan masyarakat, walhal usaha mereka itu tidak memberikan apa-apa kesan pun.

“Nasihat saya kepada mahasiswa lain di luar sana supaya memelihara imej diri supaya lebih dihormati oleh masyarakat dan jangan membiarkan diri dijadikan alat untuk politik murahan yang akhirnya akan merendahkan kualiti pemikiran anda,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau mendakwa, tindakan kumpulan terbabit lebih menjurus untuk ‘membina jambatan’ sebelum perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini.

Kelmarin, kumpulan terbabit turut bertindak mengalungkan bunga malai pada potret Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di depan Kompleks Sogo di ibu negara.

Mereka kemudiannya, berkhemah di Dataran Merdeka dan bertegas akan terus berada di kawasan tersebut sehingga pihak kerajaan memberi respons berhubung tuntutan memansuhkan pinjaman PTPTN.

Ketika diminta mengulas mengenai cabaran debat isu PTPTN yang dikemukakan Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli kepada Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin,

Syahrin berkata, pihaknya melihat perkara itu satu perkembangan yang positif dan gembira ketua mereka menyahut cabaran itu.

“Kami benar-benar bangga dan akan turun beramai-ramai untuk memberikan sokongan tetapi saya berharap di pihak sana, biarlah mengemukakan hujah berdasarkan fakta yang praktikal,” katanya lagi.

“Hasil resolusi Meja Bulat Umno minggu lalu, selain berjaya menggariskan 11 cadangan, banayak isu dapat dibangkitkan malah saya lihat ramai yang lebih memahami tentang PTPTN,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan: