Selasa, 24 April 2012

Tian Chua: Umno-BN – DBKL Main Wayang Isu Dataran Merdeka


SHAH ALAM: Percanggahan pandangan yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail berhubung lokasi penganjuran BERSIH 3.0 jelas menunjukkan pihak berkenaan cuba ‘bermain wayang’ dalam usaha menggagalkan himpunan berkenaan daripada berlangsung di Dataran Merdeka.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua melihat tindakan ‘bermain wayang’ ini menunjukkan sifat ‘talam dua muka’ kedua-dua pihak yang terus menerus mengelirukan rakyat supaya tidak menyertai perhimpunan berkenaan.

“Saya dapati kerajaan bukan sahaja tidak ingin melihat perhimpunan ini berjaya dilaksanakan tetapi juga kerajaan tidak mempunyai komitmen untuk membersihkan pilihanraya,” katanya.

Sebelum ini, Hishammuddin dalam kenyataan yang dilaporkan media menyebut himpunan ‘Duduk dan Bantah’ tidak dilihat sebagai satu ancaman manakala pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meminta pihak Bersih mengubah lokasi himpunan ke tiga buah stadium yang ditawarkan iaitu Stadium Badminton dan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras serta Stadium Titiwangsa di Taman Tasik Titiwangsa.

Tian Chua menambah, parti-parti politik menyatakan sokongan terhadap perhimpunan BERSIH 3.0 dan cuba membantu secara ‘all out’ dari segi mobilisasi agar semua pihak hadir bersama menyatakan sokongan terhadap isu yang dibawa.

Jelas beliau, semua ahli PKR yang akan hadir pada Sabtu ini bukan sebagai ahli parti sebaliknya kehadiran mereka sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keadilan dan mahukan pilihanraya berlangsung secara bersih.

“Respon yang diterima daripada rakyat sangat hebat sekali. Saya yakin kehadiran kali ini bukan sahaja ramai malah kita akan menyaksikan pelbagai latar belakang termasuk mereka yang tidak menyertai mana-mana parti politik akan turut serta,” katanya.

Perhimpunan BERSIH 3.0 ‘Duduk Bantah’ pada Sabtu ini mensasarkan kehadiran 500,000 orang penyokong selain penyertaan Himpunan Hijau Stop Lynas, Save Malaysia yang turut berkumpul di Dataran Merdeka.

Tiada ulasan: