Selasa, 24 April 2012

Tiada Tokoh Umno Yang Boleh Tandingi MB Selangor


SHAH ALAM :Menteri Besar,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah menunjukkan komitmen tinggi memajukan negeri dan membantu rakyat yang berwibawa, berjiwa rakyat  yang amat telus dalam pengurusan sekaligus meyakinkan rakyat terhadapnya di mana simpanan tunai kerajaan negeri turut meningkat dari RM 400 juta kepada RM 1.9 bilion

Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr. Yaakob Sapari dalam kenyataannya berkata kesungguhan Abdul Khalid membantu rakyat dengan memperkenalkan pelbagai bantuan termasuk agenda “Merakyatkan Ekonomi Selangor” dan “Hasil Negeri Untuk Rakyat” jelas telah mengurangkan beban dan dapat meningkatkan taraf hidup rakyat.

Sehingga kini, RM 600 juta telah dibelanjakan untuk manfaat semua golongan.

“Empat tahun Tan Sri berada di sini, kejayaan demi kejayaan telah dicapai sebagaimana kejayaan-kejayaan yang pernah dilakukannya semasa memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan GUTHRIE”, menurut beliau.

Tambah Dr Yaakob, perkara ini dibuktikan apabila Abdul Khalid telah dianugerahkan sebagai CEO Malaysia terbaik tahun 1997 oleh Majalah Business Times.

“Pada saya, pemimpin Umno Selangor, hampir semuanya bermasalah. Ketua Pembangkang Umno, Satim Diman pernah dikaitkan dengan keuntungan jutaan ringgit hasil penjualan tanah PKPS kepada PKNS.

Sementara itu,Setiausaha Umno Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed,  telah digugurkan dari kabinet kerana terlibat dengan rasuah dalam pemilihan Umno. Dr.Khir pula dengan kes tanah dan rumah banglonya. Jelas, tiada tokoh dalam Umno yang mampu membawa perubahan”, tegas Yaakob.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menempelak Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani , Datuk Seri Noh Omar yang seringkali mengeluarkan hujah yang dangkal dan tanpa fakta.

“ Noh gagal dalam semua perkara. Pegang Kementerian Usahawan dan Koperasi, kementerian ditutup. Pegang Kementerian Pertanian, tiada apa yang hendak dibanggakan oleh para petani malah dana RM110 juta untuk bantuan subsidi harga padi lesap dalam kementerian beliau”, kata Yaakob.

Menurut Yaakob, Umno jangan bermimpi di siang hari untuk menawan Selangor.

“Bersungguh-sungguh mahu menawan Selangor kononnya. Silap-silap, Selangor kekal dengan kerajaan sekarang, malah Putrajaya pula ditawan Pakatan Rakyat”, ujar Yaakob secara sinis.

Tiada ulasan: