Khamis, 12 April 2012

Task force warga negara bukti wajib Bersih 3.0

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR:
Pendedahan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar bahawa terdapat skandal task force pemberian kad pengenalan kepada warga asing oleh beberapa pegawai tinggi kerajaan termasuk pegawai tinggi JPN dan Pegawai Khas Perdana Menteri membuktikan bahawa perhimpunan Bersih 3.0 wajib diadakan.

Sehubungan itu, PAS Wilayah Persekutuan (WP) bersedia mengerahkan seluruh ahli dan penyokong untuk turut hadir memeriahkan Bersih 3.0 di Dataran Merdeka pada 28 April ini.

Ketua Penerangannya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, dijangkakan seramai 10,000 ahli dan penyokong PAS di setiap kawasan akan hadir ke perhimpunan tersebut.

Menurutnya lagi, PAS WP juga akan menggerakkan kempen dengan sebaran risalah, poster, kain rentang bagi mengajak rakyat untuk turut hadir bersama-sama.

“Di samping itu, medium melalui media baru akan diperkasakan untuk menarik perhatian jutaan penggunanya supaya tidak turut ketinggalan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, PAS WP yakin, dengan kesedaran rakyat khususnya di Wilayah Persekutuan, sasaran seramai 500,000 akan berjaya dicapai yang sebahagian pesertanya adalah penduduk sekitar Lembah Klang.

“Ini juga sebagai momentum kepada rakyat agar bangkit mendesak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan kerajaan Malaysia memastikan perjalanan pilihan raya di Malaysia benar-benar berlagsung dalam keadaan bersih, telus dan adil,” ujarnya.

Tiada ulasan: