Khamis, 12 April 2012

'Tak benar 1,700 guru sekolah Cina tak diisi'

MALAYSIA KINI
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Kementerian Pelajaran tidak pernah menganaktirikan atau memberi layanan berbeza kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina atau Tamil.

christmas school 261211 muhyiddin"Kita tidak pernah memberi layanan berbeza hanya kerana ia sekolah Cina atau Mandarin tetapi ada persepsi pemikiran sesetengah pihak termasuk pembangkang... oh, sekolah Cina kita ketepikan, sekolah Tamil kita ketepikan, sekolah kebangsaan kita utamakan," katanya pada majlis perjumpaan beliau dengan guru-guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil sempena lawatan beliau ke Selangor di bawah Program Nurani Rakyat Barisan Nasional Selangor di Shah Alam Khamis.

Sambil menyifatkan kedua-duanya merupakan sebahagian penting dalam sistem pendidikan negara, beliau berkata Kementerian Pelajaran mahukan sekolah-sekolah jenis kebangsaan mempamerkan prestasi yang baik dan banyak sekolah kedua-dua aliran ini setanding pencapaiannya dengan sekolah-sekolah kebangsaan.

Muhyiddin yang juga menteri pelajaran berkata kerajaan mengutamakan sekolah kebangsaan kerana ia adalah dasar dan sistem negara tetapi sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil tidak boleh diketepikan.

"Ada orang nak mengelirukan kita, dah dekat pilihan raya, kalau jadi kerajaan sekolah jenis kebangsaan akan dipertahankan kekal terus. Sekarang di bawah BN, Sekolah Kebangsaan Tamil dan Cina jadi sebahagian penting sistem pendidikan negara, tidak boleh kita pinda dan ubah. Ini kita sudah terima sebagai warisan kita," katanya.

Muhyiddin berkata sistem sekolah aliran Cina dan Tamil di samping sistem sekolah kebangsaan merupakan satu sistem pendidikan unik yang hanya terdapat di Malaysia dan ini memberikan kebaikan kepada rakyat Malaysia untuk memilih aliran mana yang ingin dipelajari.

Katanya soal kekurangan guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina yang ditimbulkan oleh pihak Dong Zong menerusi satu perhimpunan di Kajang atas dasar sudah 20 tahun sekolah-sekolah Cina diabaikan dan guru-guru tidak disediakan adalah satu pembohongan besar.

Beliau berkata para guru yang hadir pada hari ini memang mengetahui masalah kekurangan guru bukan sahaja membelenggu sekolah-sekolah Cina malah sekolah-sekolah kebangsaan terutamanya guru-guru Bahasa Inggeris.

"Bukan kementerian membiarkan masalah kekurangan guru itu berterusan kerana mengisi kekosongan jawatan-jawatan guru yang bersara mengambil masa," katanya.

Beliau berkata, memandangkan ramai wanita menjadi guru, setiap tahun kira-kira 20,000 guru bersalin dan tempat mereka ini juga perlu diisi.

Mengenai dakwaan ada 1,700 kekosongan guru di sekolah Cina tidak dapat diisi, Muhyiddin berkata sebenarnya lebih 1,400 guru itu telah diisi dengan guru-guru sementara.

Beliau berkata kerajaan telah mengambil langkah bagi menangani masalah kekurangan guru di sekolah-sekolah Cina yang memerlukan guru yang boleh berbahasa Mandarin walaupun untuk pelajaran Bahasa Malaysia kerana khidmat mereka diperlukan untuk mengajar matapelajaran lain jika diperlukan.

Untuk itu, katanya, guru besar sekolah-sekolah Cina telah diberi kuasa untuk melantik guru-guru sementara dalam tempoh terdekat bagi mengisi kekosongan guru di sekolah-sekolah masing-masing.

Muhyiddin berkata daripada segi infrastruktur, masalah SRJK Tamil dan Cina tidaklah seteruk sekolah-sekolah di pedalaman Sabah dan Sarawak di mana beliau terpaksa menggunakan helikopter untuk melawat sekolah-sekolah di sana kerana kalau melalui perjalanan darat ia akan mengambil masa empat hari untuk sampai ke sekolah-sekolah tertentu.

Beliau berkata ada antara sekolah itu sudah berumur 50 tahun dan keadaannya semakin teruk.

Menurut audit bangunan sekolah yang dijalankan oleh kementerian, terdapat 600 buah sekolah dalam keadaan daif dan perlukan perhatian.

"Kita bukan tak bagi perhatian, SRJK Cina lagi elok...sekolah kebangsaan lagi teruk sebab di pedalaman," katanya.

Muhyiddin berkata kos membina sebuah sekolah kebangsaan di Sabah dan Sarawak adalah tinggi iaitu RM60 juta seunit kerana kos pengangkutan bahan binaan yang tinggi serta jarak yang jauh berbanding dengan sekolah kebangsaan baru di Semenanjung yang hanya menelan belanja RM20 juta.

Katanya peruntukan kerajaan bagi mengurus SRJK Cina ialah RM2.89 bilion dan bagi SRJK Tamil ialah RM1.04 bilion, di mana kebanyakan daripada peruntukan itu digunakan untuk membayar gaji.

Pada masa ini terdapat 1,294 sekolah-sekolah jenis kebangsaan di seluruh negara yang hampir 700 daripadanya ialah sekolah kurang murid, iaitu hanya 10 ke 20 orang murid dalam setiap sekolah.

Beliau berkata secara purata perbelanjaan mengurus sekolah-sekolah Cina adalah RM2.23 juta sebuah setahun manakala sekolah-sekolah Tamil pula ialah RM1.99 juta dan sekolah-sekolah kebangsaan RM2.26 juta.

Muhyiddin berharap pendidik di sekolah kedua-dua aliran itu supaya berusaha meningkatkan prestasi sekolah dan anak-anak murid mereka sehingga sekolah masing-masing mencapai status Sekolah Berprestasi Tinggi.

Beliau menyebut sebagai contoh Sekolah Kebangsaan Ulu Lubai di Limbang, Sarawak, yang telah dinobatkan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi dan guru besarnya menerima dana tambahan daripada kerajaan walaupun bangunan sekolah itu diperbuat daripada kayu dan mempunyai hanya 100 murid. Bernama

Tiada ulasan: