Jumaat, 13 April 2012

Polis maut dilanggar lori ketika kejar kereta

MALAYSIA KINI
Seorang anggota polis yang sedang mengejar sebuah kereta, maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas sebelum digilis sebuah lori di Permatang Tinggi, dekat Bukit Mertajam, malam tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob berkata ketika kejadian pada pukul 8.45 malam itu, Konstabel Nan Ruazlan Zulkefle, 23, yang bertugas di Balai Polis Machang Bubok, mengesan sebuah kenderaan yang mencurigakan semasa sedang meronda bersama rakan setugasnya dengan masing-masing menunggang motosikal.

Nan Ruazlan memintas kenderaan berkenaan bagi menahan dan memeriksanya dan ketika menghampiri kenderaan itu, pemandunya, seorang lelaki, memecut kenderaannya lalu bergesel dengan motosikal mangsa," katanya kepada pemberita selepas melawat jenazah mangsa di Hospital Bukit Mertajam (HBM), malam tadi.

"Akibat kejadian itu, motosikal yang ditunggang mangsa melanggar pembahagi jalan dan beliau (Nan Ruazlan) terpelanting di atas jalan sebelum dilanggar sebuah lori yang lalu di kawasan terbabit," katanya.

Ayub berkata mangsa yang berasal daripada Felda Kahang Barat, Kluang, Johor yang cedera parah di bahagian kepala, mati di tempat kejadian. Mayatnya dibawa ke HBM untuk dibedah siasat.

Katanya Proton Saga dan lori yang terlibat dalam kejadian itu meninggalkan tempat kejadian dan usaha mengesan pemandunya sedang giat dijalankan.

"Kita percaya lelaki yang memandu kereta Proton Saga itu terlibat dengan kesalahan berikutan keengganannya untuk berhenti dan diperiksa. Polis juga mengenal pasti pemilik kenderaan berkenaan berdasarkan nombor pendaftaran yang diperoleh," katanya.

Katanya polis juga memeriksa rumah pemilik kenderaan terbabit di Lunas, Kedah malam tadi, tetapi pemandu kereta terbabit tiada di rumah dan dipercayai telah melarikan diri.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Azwan Kamaruddin di talian 04-5301977 bagi membantu siasatan.

Sementara itu, teman wanita Nan Ruazlan, Siti Junaida Mohd Hasnan, 20, yang ditemui di HBM berkata mereka telah merancang untuk mengikat tali pertunangan 27 Mei ini dan arwah membuat persiapan dengan membeli barang hantaran untuk majlis pertunangan itu.

Katanya arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan kerana sejam sebelum kejadian arwah datang ke rumahnya yang terletak bersebelahan rumahnya.

Selepas selesai bedah siasat, mayat mangsa disembahyangkan di surau Ibu Pejabat Polis Daerah seberang Perai Tengah, di sini sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya. Bernama

Tiada ulasan: