Khamis, 12 April 2012

Perubahan kerusi dan calon terserah kepada PAS pusat, kata Nik Mohd Amar


KUALA LUMPUR — Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah berkata walaupun ada ura-ura mengatakan beberapa Exco Kerajaan Negeri Kelantan akan bertukar kerusi dari Dewan Undangan Negeri (DUN) ke Parlimen namun menegaskan ia akan ditentukan PAS pusat.

Bagaimanapun Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan ini tidak menolak kemungkinan pertukaran kerusi itu boleh berlaku sambil menyifatkan ia perkara biasa dalam mana-mana parti politik.

Kata Nik Mohd Amar Nik, perkara sama pernah berlaku kepada beliau yang diminta untuk bertanding di DUN Kelantan pada pilihan raya umum 2004.

Beliau kini merupakan Adun Panchor dan memegang jawatan Exco Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah di bawah kepimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Kita tidak tahu siapa yang akan bertanding, senarai nama calon juga tidak tahu...kita tidak akan dimaklumkan kecuali sampai masanya, kebiasaannya selepas pembubaran Dewan Negeri baru kita akan tahu siapa yang akan bertanding dan di kawasan mana. Sebelum pembubaran tiada siapa pun tahu.

“Sebenarnya pertukaran (kerusi) itu perkara biasa, saya juga pernah dari Parlimen ke DUN. Kalau perubahan ini berlaku ia perkara biasa dalam parti politik dan ia merupakan percaturan parti merangka strategi pilihan raya,” katanya kepada The Malaysian Insider menambah keputusan akhir calon bertanding terletak kepada PAS pusat.

Sinar Harian Online hari ini melaporkan ura-ura mengaitkan beberapa exco kerajaan negeri akan bertukar kerusi dari DUN ke Parlimen semakin jelas kedengaran.

Malah, dikatakan exco berkenaan mula mempersiapkan diri, melakukan kerja-kerja parti lebih awal dengan menjelajah daerah yang bakal ditandinginya, untuk menguatkan sokongan sekiranya pimpinan Pusat mengesahkan pencalonan beliau.

Bekas Pengarah Strategi PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun tidak menolak kemungkinan beberapa exco akan beralih kerusi ke parlimen dengan tujuan untuk memantapkan parti secara keseluruhan.

Menurutnya, perkara itu bukan sesuatu yang luar biasa memandangkang PAS Kelantan sebelum ini pernah melakukan perubahan dengan menukar exco ke peringkat pusat.

Sementara itu itu Abdul Fatah ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata PAS Kelantan bersedia melepaskan mana-mana exco jika perlu untuk dibawa ke Parlimen.

Beliau menambah PAS negeri tidak boleh mengesahkan siapa yang akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13 dan ia akan ditentukan pimpinan pusat parti Islam itu.

“Perubahan akan dibuat PAS pusat, ia ditentukan disana...kita tidak boleh sahkan (siapa akan bertanding), nama kita boleh calonkan cuma disaat akhir kemungkinan akan berlaku kerana ia pernah berlaku sebelum ini.

“Kalau memerlukan beberapa orang dari negeri untuk ke Parlimen tiada masalah...kalau dari Parlimen turun ke negeri juga boleh. Sebelum ini ramai pemimpin kita yang ditukarkan kerusi, sama ada dari negeri ke Parlimen atau Parlimen ke negeri,” katanya.

Abdul Fatah berkata banyak faktor yang perlu dinilai oleh PAS pusat untuk memilih calon bertanding.

“Banyak faktor perlu dilihat, bukan lihat satu faktor tapi banyak faktor lain juga yang perlu dilihat dan dinilai sebelum membuat keputusan.

“PAS pusat akan melihat mengikut kesesuain untuk meletakkan calon, kita tidak tahu siapa,” katanya.

Tiada ulasan: