Sekalipun mereka hendak mengkritik kerajaan
ini adalah cara yang salah memandangkan mereka boleh meluahkan rasa
kurang puas hati itu menerusi peti undi kelak.
SERIAN: Perhimpunan Bersih 3.0 yang dirancang pada 28 April ini akan disertai 100 rakyat Sarawak kelak termasuk di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat dari negeri ini, menurut Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Richard Riot ak Jaem.
Beliau yang ditemui selepas merasmikan Bengkel Kemahiran Keibubapaan Peringkat Parlimen P199 Serian berkata, 100 orang itu sudah disemak senarai namanya dan menyatakan keinginan untuk menghadiri perhimpunan itu di Kuala Lumpur.
“Tak taulah kalau mereka benar-benar pergi, sebab kalau nak pergi ke sana mereka perlu tanggung kos sendiri. Tetapi sekiranya mereka nak pergi juga itu bodoh namanya,” kata beliau.
Riot memberitahu, sekalipun mereka hendak mengutuk dan menentang kerajaan ini adalah cara yang salah memandangkan mereka boleh meluahkan rasa kurang puas hati itu menerusi peti undi kelak.
“Saya ada nama tetapi tidak akan mendedahkannya kerana perhimpunan itu bukan jalan penyelesaian terbaik buat kita sebaliknya hanya merupakan satu provokasi dengan membuat rusuhan dan membahayakan nyawa orang yang tidak bersalah.
“Kalau ini berterusan sesiapa sahaja akan takut (untuk datang) terutamanya pelabur,” jelas beliau.
Lanjutan kepada himpunan Bersih 1.0 dan Bersih 2.0 lalu, ia kali ini meramalkan penyertaan sekitar setengah juta orang.
Pengerusi Bersamanya Datuk Ambiga Sreenevasan dipetik sebagai berkata ia dirancang untuk menuntut pilihan raya bersih, adil dan selamat selain menginginkan Malaysia yang selamat daripada pencemaran radioaktif.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan