Ahad, 22 April 2012

PAS akan terus sertai Duduk Bantah


Salmiyah Harun,
KUALA LUMPUR: PAS akan terus bersama-sama Sasterawan Negara A. Samad Said (Pak Samad) dan Jawatankuasa Pemandu Bersih 3.0 untuk meneruskan rancangan Duduk Bantah di Dataran Merdeka pada 28 April ini walaupun tidak dibenarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Timbalan Presiden PAS, Muhamad Sabu berkata, keputusan Bersih 3.0 untuk berhimpun juga merupakan keputusan PAS.

"PAS akan ikut keputusan Pak Samad dan jawatankuasa Bersih 3.0. Kita serah kepada jawatankuasa itu," katanya kepada Harakahaily.

Beliau juga mengulangi apa yang diungkapkan oleh Pak Samad "kalau tak bagi duduk dan bantah, Dataran Merdeka akan jadi dataran penjajah".

Beliau yang sedang mengadakan pertemuan dengan PAS Kota Kinabalu, berkata, halangan DBKL itu tidak akan mematahkan semangat rakyat yang mahukan sebuah pilihan raya yang adil.

"Rakyat tidak perlu mengalah walaupun tidak dibenarkan, bahkan mereka harus hadir dalam himpunan itu nanti," katanya.

DBKL tak perlu takut

Sementara itu, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS pusat, Dr Hatta Ramli berkata, DBKL tidak perlu takut kerana rakyat yang datang pada Sabtu depan hanya duduk dan bantah.

"Mereka datang duduk dan bantah, bukannya hendak cangkul padang Dataran Merdeka tu, jadi apa masalahnya hendak halang pula?" katanya.

Tegasnya, apa halangan sekali pun rakyat  tetap berhimpun di sana kerana itulah medan untuk rakyat suarakan hak mereka.

"Kita warganegara Malaysia, kita hendakkan kemakmuran dan kemakmuran itu sepatutnya ada," tegasnya.

Jawatankuasa Pemandu Bersih, Maria Chin Abdullah menerima surat DBKL pada pagi Khamis.

Surat tersebut memberi alasan permohonan Bersih 2.0 tidak diluluskan kerana aktiviti yang dicadangkan tidak bersesuaian dengan penggunaan Dataran Merdeka yang telah ditetapkan oleh DBKL.

Menurutnya, acara-acara yang dibenarkan diadakan di Dataran Merdeka hanyalah acara-acara yang bertahap Nasional sahaja, contohnya sambutan hari Kebangsaan, Hari Wilayah Persekutuan dan acara-acara lain yang setaraf dengannya.

Keputusan DBKL itu tidak mengejutkan Jawatankuasa Bersih 3.0 dan keputusan itu sebagaimana dijangka sebelum ini, malah mereka akan teruskan himpunan duduk bantah Sabtu depan.

Tiada ulasan: