JOHOR BAHRU - Seluruh mahasiswa di negara ini khususnya Universiti
Teknologi Malaysia (UTM) diseru agar memahami konsep perjalanan dan
pentadbiran sesebuah kerajaan berhubung pengurusan institusi pengajian
tinggi (IPT) sementara ada pelajar menuntut pemansuhan Perbadanan Tabung
Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Zaini Ujang berkata, Malaysia masih
menggunakan modul yang tidak banyak dilaksanakan oleh negara-negara lain
di mana sebuah negara menampung hampir 95 peratus yuran pengajian di
IPT awam.
“Pengajian tinggi percuma akan menjejaskan kualiti pembelajaran
penuntut kerana mereka tidak mempunyai komitmen membayar balik yuran
selain tiada persaingan untuk mendapatkan keputusan cemerlang.
“Jadi kita nak ada elemen persaingan di mana hanya mahasiswa tertentu sahaja yang kita berikan biasiswa.
“Kita dapati dalam beberapa negara yang menyediakan perkhidmatan
pendidikan percuma kepada pengajian tinggi secara total, tidak
menunjukkan peningkatan dari segi kualiti pengajian tinggi itu sendiri,”
katanya ketika sidang akhbar selepas membubarkan Majlis Perwakilan
Mahasiswa UTM berikutan tempoh pelantikan tamat 20 Februari lalu di
Dewan Senat UTM, di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu pemansuhan pinjaman
PTPTN yang dilakukan oleh segelintir mahasiswa di Dataran Merdeka,
Kuala Lumpur.
Selain itu, Zaini turut mengingatkan golongan mahasiswa supaya tidak
menjadi alat dan dikawal oleh pengaruh-pengaruh di luar kampus sekali
gus memberi pandangan dalam sesuatu hal secara rasional.
“Saya dapati tradisi kita bukanlah tradisi jerit-jerit di tepi jalan.
Tradisi yang hendak kita wujudkan dalam masyarakat menerusi kampus yang
berdaya maju, kompetitif adalah mahasiswa yang memberi pandangan secara
rasional menerusi berdebat.
“Golongan ini akan mengadakan saluran yang sesuai dan tidak diekori
serta dipatungkan oleh kepentingan-kepentingan lain di luar kampus. Jika
mahu buat sesuatu mesti menerusi daya fikir dan inisiatif sendiri tanpa
ada elemen dipengaruhi sentimen luar,” katanya.
Mengenai pembubaran MPP UTM, Zaini berkata, pihaknya kini menubuhkan
Rakan Hal Ehwal Mahasiswa (Rakan Hema) bagi mewakili kepentingan
mahasiswa untuk tempoh empat bulan sebelum lantikan MPP baru dilakukan
September depan.
Katanya, Rakan Hema dianggotai 16 penuntut yang bergiat aktif membantu hal ehwal mahasiswa dan menjaga kebajikan mereka.
“Pilihan raya MPP tidak dapat diadakan sebaik sahaja tempohnya tamat
berikutan perubahan sistem pembelajaran yang menyebabkan perbezaan waktu
cuti antara penuntut diploma dan sarjana muda,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan