Selasa, 3 April 2012

MCA, DAP dan Islam

Oleh Khalid Samad



Semasa menjawab soalan yang dikemukakan berhubung usaha dakwah yang dilakukan, Dr. Mashitah telah menyebut beberapa program yang dijalankan oleh kerajaan BN. Turut disebut ialah peranan IKIM dan untuk mengukuhkan hujjahnya, bagaimana DAP telah berhubung dengan IKIM untuk mendapat penjelasan mengenai Islam.

Mungkin dari satu sudut maklumat ini dikemukakan sebagai bukti betapa gigihnya usaha dakwah yang dijalankan oleh pihak BN. Namun dari sudut yang lain ianya mendedahkan sikap ingin tahu dan keterbukaan DAP yang sering diselar oleh BN sebagai musuh Islam. Saya diberitahu bahawa ada dari kalangan penceramah UMNO yang melampau sehingga sanggup mengisytiharkan DAP sebagai ‘kafir harbi’! Pengistiharan ini sudah pasti dilakukan oleh seorang yang jahil tentang implikasi dari pengisytiharan yang sebegitu!

Apabila saya mendengar Dr. Mashitah mendedahkan bahawa DAP telah berhubung dengan IKIM untuk mendapat penjelasan berhubung Islam, secara spontan saya bertanya, tetapi malangnya tanpa microphone, MCA tidak berhubung untuk tujuan yang sama ke? Soalan saya hanya sempat dijawab oleh Ahli Parlimen PR bahawa MCA tidak minat dan Dr. Mashitah terus duduk, mungkin merasa sedikit kesal bahawa maklumat tersebut telah didedahkan.

Apa pun kita semua memahami bahawa sikap MCA terhadap Islam adalah lebih keras berbanding DAP. Perkara ini semakin ketara hari demi hari. MCA menganggap mereka tidak perlu mempelajari Islam, mereka sudah pakar! Ini terbukti apabila MCA telah menganjurkan Seminar Hudud yang dihadiri ahli UMNO.

MCA yang menjelaskan tentang betapa undang-undang hudud tidak boleh digunapakai di Malaysia dan ahli UMNO yang merupakan penasihat agama kepada MB Terengganu mengiayakannya dengan menyatakan bahawa undang-undang hudud yang digembar-gemburkan adalah sebenarnya hudud PAS dan bukan sebahagian dari undang-undang Islam.

Begitu juga baru-baru ini apabila telah diadakan debat di antara CSL dan LGE. Di antara serangan CSL terhadap LGE ialah kononnya bagaimana DAP dikudakan PAS. Dalam ucapan CSL beliau telah menyatakan bagaimana MCA telah berjaya memastikan UMNO tidak membawa isu perundangan Islam dan hudud! Beliau seterusnya mencabar LGE samada DAP sanggup membuat perkara yang sama terhadap PAS! Sekiranya tidak, maka kononnya ianya bukti bahawa DAP tunduk pada PAS.

LGE menjawab bahawa DAP tidak akan mengganggu ummat Islam dan amalan agama mereka sepertimana PAS juga tidak mengganggu orang bukan Islam dan amalan agama mereka.

Sikap menghormati Islam dan ummat Islam telah kerap dizahirkan oleh DAP kebelakangan ini. Ini termasuklah dasar-dasar yang dilaksana di Pulau Pinang di mana bajet untuk pentadbiran agama Islam telah dilonjakkan hampir 5 kali ganda dan bantuan terhadap sekolah agama Islam dan Maahad Tahfiz jauh melebihi apa yang pernah diberikan oleh BN sebelum ini. Fakta sebegini tidak ditonjolkan media perdana yang dikuasai UMNO/BN. Media UMNO/BN ingin terus membohongi rakyat, khususnya orang Islam.

Apabila ditanya oleh pemberita akhbar Cina mengapa LGE memberi sumbangan yang begitu banyak kepada pendidikan agama Islam di Pulau Pinang, termasuk sumbangan wang kepada golongan murid yang berjaya menghafal Al-Quran, LGE menjawab, “Apabila ummat Islam berpegang kepada ajaran agama Islam, mereka tidak akan terlibat dalam rasuah”.

Sikap ingin ummat Islam menghayati Islam dengan sepenuhnya sehingga mencorakkan tindak-tanduk mereka dalam semua urusan, termasuk politik, jauh berbeza dengan sikap yang ditunjukkan seorang MP UMNO baru-baru ini. MP UMNO ini menyatakan bahawa janji Syurga adalah rasuah politik yang terbesar!.

Kenyataan sebegini mungkin adalah hasil dari UMNO berguru dengan MCA dalam soal agama sehingga ganjaran dan hadiah yang Allah sediakan bagi orang-orang yang beriman yang patuh dan taat pada perintahNya boleh disifatkannya sebagai rasuah terbesar! Maka adakah ini dengan sendirinya bermakna bahawa Allah adalah perasuah terbesar dan Rasulullah (SAW) adalah agen perasuah terbesar!? Astaghfirullah Al-‘Azeem!!

Bagi PAS, orang Islam perlu diingatkan akan janji Allah dan dididik sehingga menerima janji ini sebagai perkara yang terpenting dalam hidup mereka. Semua amalan mereka adalah bertujuan untuk mencapai kereDhaan Allah, samada ianya ‘amalan dunia’ ataupun ‘amalan akhirat’. Pada hakikatnya semua akan mempunyai kesan kepada kedudukan kita di akhirat kelak.

Sedih apabila difikirkan, aneh tetapi benar. MP UMNO yang tidak mahu Syurga (ataupun kereDhaan Allah) dijadikan sebagai matlamat amalan ummat Islam dalam berpolitik sehingga digelar ‘janji syurga’ sebagai rasuah sambil UMNO dianggap parti yang memperjuangkan kepentingan Islam. DAP yang ingin ummat Islam berpegang kepada Islam sehingga memberikan galakan dan sokongan tetapi DAP pula digelar musuh Islam!

Hakikatnya, yang merosakkan ummat Islam bukan semestinya orang bukan Islam. Kebiasaannya, ianya adalah bermula dari para pemimpin yang beragama Islam tetapi ingin ummat Islam menjauhi ajaran Islam, khususnya dalam soal berpolitik. Mereka lakukan ini kerana mereka ingin memanfaatkan kekuasaan mereka tanpa dibataskan oleh syara’.

Rasuah, penyelewengan, maksiat dan kerosakan menjadi amalan biasa disambil Masjid-masjid besar dibina disetiap pelusuk. Projek pembinaan Masjid-masjid indah mendatangkan ‘komisyen’ dan pada masa yang sama rakyat serta ummat Islam boleh ditipu dengan projek keagamaan seperti ini. Sambil itu, kekayaan Negara terus dirompak.

Semoga ummat Islam di Malaysia dapat memahami hakikat yang sebenar dan menyedari penipuan yang dilakukan oleh UMNO dan BN. Semoga dengan itu akan Malaysia dibebaskan dari kongkongan jahat para pemimpin yang beragama Islam tetapi menghalang penghayatannya.Harakahdaily.net

Tiada ulasan: