Isnin, 16 April 2012

Jika anak jantan, patut pulang duit PTPTN

SINAR HARIAN

mahasiswa

KUALA LUMPUR - Pelajar yang terlibat dalam demonstrasi mendesak kerajaan memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di sini dicabar supaya memulangkan semula pinjaman itu.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kumpulan pelajar terbabit perlu berbuat demikian untuk membuktikan bahawa mereka sememangnya enggan pembiayaan pendidikan itu diteruskan.

"Saya ingat mereka semua anak jantan, jadi mereka patut pulangkan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) di sini, hari ini.

Khaled berkata Universiti Selangor (Unisel) milik kerajaan negeri Selangor yang turut memperjuangkan supaya PTPTN dimansuhkan juga patut menyatakan pendirian mereka dengan tegas mengenai isu berkenaan.

"Mereka (Unisel) nak atau tak nak pelajar mereka mendapat PTPTN? Kalau betul nak mansuhkan PTPTN jangan buat iklan dalam akhbar siapa yang masuk Unisel boleh dapat PTPTN," katanya.

Mengulas mengenai APEL, Khaled berkata ia akan memberi lebih ruang dan peluang kepada individu yang berkerjaya yang sebelum ini tidak berpeluang mengikuti pembelajaran di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk berbuat demikian.

Beliau berkata menerusi APEL, individu yang mempunyai pengalaman kerja akan melalui satu proses penilaian khusus bagi menentukan tahap kompetensi mereka yang dilakukan oleh Pusat APEL, Universiti Terbuka Malaysia dan Universiti Wawasan Malaysia.

"Setelah penilaian dibuat, mereka yang layak akan diberi sijil bagi membolehkan individu terbabit mengenal pasti peluang pengajian tinggi yang bersesuaian di mana-mana IPT.

"Ini adalah satu lagi ruang asas bagi kemasukan ke IPT, kalau dahulu matrikulasi, tingkatan enam, A-Level tapi sekarang APEL," katanya.

Khaled berkata buat permulaan, kemasukan pelajar melalui APEL di semua IPT dihadkan kepada lima peratus sahaja daripada keseluruhan jumlah pelajar semasa.

Beliau berkata, langkah itu dibuat bagi membolehkan pihak IPT memberi perhatian yang sewajarnya dalam menyediakan khidmat sokongan yang khusus untuk pelajar berkenaan.

Pada masa sama, Mohamed Khaled berkata pengenalan sistem APEL itu juga diharap dapat mengimbangi jumlah pelajar lelaki dengan pelajar perempuan di IPT.

"Apabila ada APEL ia beri peluang kepada golongan lelaki yang tidak dapat masuk IPT secara formal, dapat masuk melalui cara ini kerana pengalaman yang ada itu akan bolehkan mereka masuk," katanya. – Bernama

Tiada ulasan: