Khamis, 12 April 2012

Jaja ‘borang Umno’ dari rumah ke rumah

Aslani M,

TANAH MERAH: Seorang wanita ditugaskan turun naik rumah penduduk untuk mendapat tanda tangan borang yang siap diisi. Ada juga budak yang diminta menandatangani borang bagi pihak ibu bapa mereka.

Penduduk memberitahu wanita berkenaan bekerjasama dengan seorang lelaki berharap usaha itu dapat mewujudkan cawangan baru Umno Kampung Jegor bagi menyaingi cawangan Umno yang sedia ada.

Seorang penduduk Ahmad Razali Ahmad berkata, wanita terbabit membawa borang yang sudah siap diisi menemui sesiapa sahaja untuk menandatanganinya.

“Dia tidak memberitahu borang berkenaan ialah permohonan menjadi ahli Umno. Namun dia sanggup melakukan dengan harapan cawangan baru Umno diwujudkan di Kampung Jegor.

“Pada awalnya wanita dan lelaki terbabit difahamkan tidak senang dengan ketua cawangan Umno yang sedia ada sehingga mengambil tindakan mewujudkan cawangan baru biar pun bilangan penduduk tidak ramai.

“Sedangkan bilangan pengundi di Kampung Jegor hanya sekitar 50 orang, bagaimana hendak wujud dua cawangan Umno pula,” katanya di sini.

Oleh itu kata beliau tidak ada ahli atau penyokong PAS di kampung berkenaan yang menyertai Umno di Kampung Jegor seperti didakwa sebuah akhbar semalam.

Akhbar berkenaan dalam laporan mendakwa 80 ahli PAS menyertai Umno kerana kecewa kerajaan Kelantan gagal membawa perubahan sejak 20 tahun lalu.

Pada majlis itu seorang lelaki Razali Muhamad berlakon menyerah borang menyertai Umno kepada pemimpin Umno Jeli, Datuk Dr Azmi Setapa sambil diperhatikan Ketua Umno Tanah Merah, Datuk Ikmal Abdul Aziz.

Ahmad Razali yang juga Setiausaha PAS Cawangan Jegor berkata, Umno sanggup melakukan apa sahaja bagi mendapat publisiti murahan biar pun di luar normal biasa.

Seorang lagi penduduk berkata, ada penyokong Umno yang beriya-iya mahu menjadi ketua sanggup menubuh cawangan baru Umno di luar peraturan biasa.

Sedangkan katanya Umno sudah ada cawangan di kampung berkenaan, namun kerana berlaku krisis dalaman orang terbabit bertindak mewujudkan cawangan lain pula.

Pada Febuari lalu Umno Tanah Merah juga melakukan taktik serupa apabila mendakwa 60 bekas ahli PAS di Kampung Kederak menyertai Umno.

Sedangkan apa yang berlaku penduduk di kampung berkenaan diminta hadir pada program penyampaian beras percuma. Namun tiba-tiba program penyerahan borang pula diadakan.

Malah tidak ada ahli dan penyokong PAS di Kampung Kederat yang menyertai Umno seperti didakwa Ketua Bahagian Umno.

Di Pasir Puteh pula program anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru Sekolah Kebangsaan Panggung bertukar menjadi majlis penyerahan borang menyertai Parti Progresif Penduduk (PPP).

Tiada ulasan: