Rabu, 11 April 2012

Hishammuddin nasihat Bersih 3.0 runding dengan polis

ARHIZA AHMAD

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

SHAH ALAM - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kerajaan tidak menganggap perhimpunan Duduk Bantah Bersih 3.0 pada hujung bulan ini, yang berkaitan dengan pilihan raya, sebagai satu isu ancaman keselamatan.

Sebaliknya Hishammuddin meminta pihak penganjur supaya mengadakan perundingan dengan polis.

Hishammuddin berkata, penganjur harus mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2011 yang diluluskan Dewan Rakyat.

“Kerajaan tidak mempunyai halangan sekiranya ia tidak bertentangan dengan akta tersebut, jadi mereka yang terbabit dalam perhimpunan itu harus mematuhinya dan tidak menyusahkan orang awam. Kami tidak membenarkan sebarang demonstrasi jalanan,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Bersih 3.0 yang akan diadakan di ibu negara pada 28 April ini.

Hishammuddin berkata, mereka yang terbabit dalam penganjuran itu harus berjumpa dengan pihak polis agar ia dapat dilaksanakan dengan baik.

Katanya, kerajaan tidak mahu kebebasan berhimpun yang diberi boleh menyusahkan orang ramai.

Tiada ulasan: